Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JAN – Pelajar-pelajar Tahun 7 yang berumur antara 12 hingga 13 tahun adalah tergolong dalam Generasi Alpha iaitu generasi yang lahir mulai 2010 hingga 2024.
Mereka merupakan generasi yang lahir dalam era digital, terdedah kepada maklumat pantas, kreatif dan inovatif, belajar secara interaktif serta sosial melalui media digital.
“Dengan memahami ciri-ciri Generasi Alpha ini, pihak sekolah menyediakan persekitaran pembelajaran yang sesuai dan relevan untuk keperluan pelajar-pelajar.
“Pada masa sama, pihak sekolah terus mengintegrasikan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran serta menyediakan ruang untuk kreativiti dan kolaborasi,“ jelas Pengetua Sekolah Menengah Berakas, Alexandar bin Bandang dalam ucapannya sempena Kemasukan Pelajar-pelajar Tahun 7, Sesi 2025 yang berlangsung di Dewan Anggerek, Sekolah Menengah Berakas, kelmarin.
Dalam ucapannya lagi, Awang Alexandar menekankan pentingnya kehadiran pelajar ke sekolah secara konsisten kerana kehadiran yang konsisten bukan sahaja memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran tetapi juga membentuk disiplin dan komitmen yang tinggi.
“Kehadiran yang baik langkah pertama ke arah kejayaan. Ingatlah, setiap hari hadir ke sekolah merupakan peluang untuk menimba ilmu, membina kemahiran dan mempersiapkan diri untuk masa depan,” tekannya.
Beliau turut menyentuh peranan penting ibu bapa dan penjaga dalam memastikan kejayaan anak-anak mereka di mana sokongan dan dorongan mereka di rumah akan melengkapkan usaha yang dilakukan oleh guru-guru di sekolah.
Menurutnya lagi, dalam era Revolusi Industri 4.0 dan dunia yang semakin dipengaruhi oleh kecerdasan buatan (AI), pendidikan STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik) serta transformasi digital adalah teras utama dalam sistem pendidikan pihak sekolah.
Dalam hubungan itu, pihak sekolah berusaha untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran abad ke-21 seperti pemikiran kritis, kreativiti, kolaborasi dan literasi digital.
“Ini langkah penting untuk memastikan pelajar-pelajar kita bersedia menghadapi cabaran masa depan.”
Beliau seterusnya menyatakan harapan pihak sekolah supaya pelajar-pelajar Tahun 7 akan menjadi generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga memiliki nilai-nilai murni dan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi cabaran masa hadapan.
Pihak sekolah juga berhasrat untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja berjaya dalam peperiksaan, tetapi juga menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan berdaya saing di peringkat global selaras dengan Wawasan Brunei 2035.