Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 NOV – Sekolah Tunas Jaya PGGMB, Lambak buat julung kalinya telah mengadakan Majlis Konvokesyen dan Penyampaian Sijil Murid-murid Terbaik 2021 secara maya bagi menandakan berakhirnya sesi pengajian persekolahan 2020-2021, baru-baru ini.
Setiausaha Agung Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB), Haji Abdul Alim bin Haji Awang Othman hadir selaku tetamu kehormat majlis.
Majlis yang turut dihadiri secara maya oleh guru-guru, ibu bapa dan murid-murid itu telah dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’, diikuti dengan bacaan doa.
Haji Abdul Alim dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada sekolah kerana dapat melaksanakan rancangan akademik tahunan sekolah walaupun sesi persekolahan ditutup dalam keadaan negara berdepan pandemik COVID-19.
Majlis menyaksikan penyampaian Sijil Graduasi kepada murid-murid Tahun 6 dan Sijil Murid-murid Cemerlang Akademik bagi setiap peringkat darjah dan seterusnya penyampaian sijil penghargaan kepada guru-guru Tahun 6 yang telah menyumbangkan bakti dan usaha gigih untuk mencapai kecemerlangan murid-murid dan sekolah.

Majlis turut menyaksikan penyampaian anugerah perkhidmatan lama kepada guru kanan, Irene Liman yang telah menyumbangkan tenaga dan khidmat beliau selama 31 tahun di sekolah berkenaan.
Guru Besar Sekolah Tunas Jaya PGGMB Lambak, Haji Roslan bin Haji Mohd Hassan pada majlis itu turut mengongsikan bahawa rancangan kemajuan sekolah lima tahun iaitu untuk tahun 2021-2025 adalah untuk memajukan dan meningkatkan lagi pencapaian akademik sekolah.
“Ini dengan pendekatan konsep Bilik Darjah Bistari, Smart Classroom dan melalui penggunaan informasi teknologi maklumat,” jelasnya.