Tuesday, October 22, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sekolah Ugama Anak-anak Polis johan pertandingan kuiz

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Sekolah Ugama (SU) Anak-anak Polis muncul johan dalam Pertandingan Akhir Kuiz An-Najah bagi Murid-murid Darjah 6 Sekolah-sekolah Agama Senegara Tahun 1446H/2024M yang julung-julung kalinya diadakan, di Dewan Persidangan, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kampung Pulaie, petang tadi.

    Sementara itu, di tempat kedua disandang oleh SU Lambak Jalan Bedil.

    Hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Hajah Mariana binti Haji Jamil, selaku tetamu kehormat majlis.

    Cara dimulakan dengan bacaan Sayyidul lstighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat.

    Acara diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Ahli Jawatankuasa Pemimpin-pemimpin Sekolah-sekolah Ugama (JKPSSU) Kawasan Brunei I, Awang Azmerul bin Haji Haris.

    Tetamu kehormat bergambar bersama johan pertandingan berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Antara pelajar yang hadir sebagai jemputan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Menurut Awang Azmerul, kuiz pelajar ini terbahagi kepada dua peringkat, peringkat pertama adalah peringkat pemilihan iaitu pertandingan secara bertulis dan telah diadakan di sekolah-sekolah yang terpilih mengikut daerah dan kawasan masing-masing, pasukan sekolah yang mendapat markah tertinggi telah menjadi wakil ke pertandingan tersebut.

    Jelas Awang Azmerul lagi, pihak JKPSSU dari semua daerah dan kawasan telah menerima baik dan memberikan respons yang sangat positif terhadap penyertaan kuiz pelajar tersebut, di mana lapan buah pasukan berjaya layak ke peringkat seterusnya.

    Peringkat seterusnya ialah peringkat kedua pertandingan secara langsung iaitu kuiz pelajar bertemakan cergas, cerdas dan pantas, peringkat suku akhir dan peringkat separuh akhir telah berlangsung selama tiga hari iaitu bermula pada 16, 17 dan 19 Oktober lalu.

    Majlis diteruskan dengan pengumuman keputusan kuiz dan penyampaian hadiah kepada pemenang oleh tetamu kehormat majlis.

    Pertandingan kuiz tersebut dikendalikan oleh JKPSSU Kawasan Brunei I dan disokong sepenuhnya oleh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

    Pertandingan ia juga merupakan salah satu inisiatif pendidikan yang bertujuan untuk meningkatkan pembangunan akademik dan kualiti Peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) serta peribadi pelajar yang cemerlang di sekolah-sekolah agama sesuai dengan maksudnya dalam bahasa Arab An-Najah yang membawa erti ‘kejayaan’.

    Program itu juga merupakan salah satu usaha bagi mendukung Rancangan Strategik KHEU 2020-2024 untuk mengenal pasti tahap pencapaian dan kejayaan.

    Selain itu ia juga untuk melahirkan murid-murid yang cemerlang dalam pelajaran di samping menambah kefahaman terhadap ilmu mata pelajaran agama seta memupuk semangat dan motivasi murid-murid Darjah 6 sebelum menghadapi SSSRU. Selain untuk memupuk persaingan sihat dalam kalangan mereka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda