Sunday, March 30, 2025
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sekretariat ASEAN jamin sokongan terhadap visi komuniti ASEAN 2045

    JAKARTA, 26 MAC – Sekretariat ASEAN telah memberi jaminan sokongan kepada negara-negara anggotanya dalam usaha membangunkan Komuniti ASEAN bagi fasa seterusnya selepas 2025.

    Menurut Sekretariat, komitmen itu dinyatakan oleh Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn dalam pertemuannya dengan Menteri Luar Indonesia Sugiono di kementerian kelmarin.

    Visi Komuniti ASEAN 2045 dan pelan strategiknya dijangka dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur pada Mei ini.

    Sekretariat turut memaklumkan bahawa isu-isu utama lain yang dibincangkan dalam mesyuarat itu termasuk persiapan bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN serta hubungan luar ASEAN. Kao juga mengambil kesempatan untuk memaklumkan kepada Sugiono mengenai aktiviti utama yang dirancang diadakan di Ibu Pejabat ASEAN tahun ini, termasuk sambutan Hari ASEAN.

    Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Kementerian Luar Indonesia menyatakan bahawa Sugiono menghargai kemajuan yang dicapai Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai Visi Komuniti ASEAN dalam memperkukuh sinergi merentas sektor dalam ASEAN.

    “Saya menekankan kepentingan Visi Komuniti ASEAN 2045 sebagai pelan hala tuju strategik untuk memajukan Komuniti ASEAN,” katanya.

    Pertemuan Sugiono dengan Kao adalah yang kedua seumpamanya tahun ini, selepas pertemuan mereka pada Januari lalu yang turut membincangkan pelbagai isu strategik serta peranan aktif Indonesia dalam memajukan Komuniti ASEAN.

    Menteri itu turut menegaskan komitmen Indonesia dalam menyokong keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN, termasuk melalui penubuhan Unit Timor-Leste di Ibu Pejabat ASEAN. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda