BALI, INDONESIA, 27 OGOS – Sektor kewangan kekal sebagai sektor paling utama mengalami serangan siber di Malaysia tahun ini walaupun kesedaran dan daya tahan siber yang semakin meningkat dalam kalangan institusi kewangan, demikian menurut firma keselamatan siber global, Kaspersky.
Pengurus Besar Kaspersky Asia Tenggara, Yeo Siang Tiong berkata mengikut rapat sektor kewangan ialah sektor kerajaan serta sektor penjagaan kesihatan yang mana pancingan data adalah bentuk serangan siber yang paling lazim berlaku.
Trend yang sama turut dilihat berlaku di negara ASEAN lain tahun ini, katanya.
“Sektor kewangan adalah lubuk wang, manakala sektor kerajaan dan penjagaan kesihatan mengandungi banyak data termasuk data peribadi yang mana data tersebut mempunyai nilai yang tinggi untuk diambil kesempatan oleh penyerang siber.
“Terdapat juga komponen pengintipan dalam sektor-sektor ini, manakala bentuk serangan lain yang kita lihat lebih kerap berlaku termasuk serangan ransomware (perisian tebusan) di mana penyerang melakukan ransomware-as-a-service (RaaS), serta cryptojacking,” katanya kepada Bernama di luar acara Kaspersky Cyber Security Weekend 2023.
Namun begitu, Yeo menekankan bahawa walaupun menghadapi paling banyak serangan, sektor kewangan telah mencatatkan sedikit peningkatan dalam daya tahan siber apabila Bank Negara Malaysia (BNM) mengarahkan bank-bank untuk mengikuti rangka kerja Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT).
Mengenai ancaman dan risiko serangan siber yang semakin meningkat, daripada perspektif kerajaan, Yeo menegaskan bahawa kerajaan perlu menangani isu itu dari sudut pandangan peraturan dan juga dasar.
“Bagi pihak kami, kami bekerjasama rapat dan menjalin kolaborasi dengan agensi kerajaan iaitu Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Cybersecurity Malaysia (CSM) agar kami boleh berkongsi maklumat dengan mereka dan kemudian mereka mendapat isyarat awal daripada kami jika kami melihat ada apa-apa yang berlaku,” katanya. – Bernama


