Sektor logistik penting bagi penyatuan ASEAN

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Sektor logistik memainkan peranan penting dalam penyatuan ASEAN ke dalam rantaian nilai serantau dan global pada masa ini yang telah menyumbang kira-kira lima peratus daripada KDNK di ASEAN.

Memandangkan peranan sektor tersebut sangat penting dalam memajukan pembangunan ekonomi, inilah masanya untuk memastikan jaringan logistik yang maju dan efisien, kerana kesannya terhadap aktiviti ekonomi, daya saing kos perdagangan dan hubungan rantaian bekalan.

Perkara tersebut ditekankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa majlis pelancaran OECD Competition Assessment dan Competitive Neutrality Reports On The Logistic Sector In ASEAN hari ini.

Projek persaingan tersebut memfokuskan sektor logistik dan merangkumi dua komponen selari iaitu tinjauan penilaian persaingan sub-sektor logistik tertentu dan tinjauan berkecuali kompetitif terhadap perkhidmatan penyampaian pakej kecil.

Semasa majlis pelancaran itu juga, Yang Berhormat Dato menyatakan perasaan berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan OECD dan Sekretariat ASEAN dalam melaksanakan projek ini tiga tahun yang lalu, sebagai sebahagian daripada Pelan Tindakan Persaingan ASEAN (ACAP) 2016-2025, ke arah peraturan yang lebih propersaingan dan penghapusan penyelewengan persaingan, untuk meningkatkan kecekapan pasaran.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew mempamerkan buku laporan semasa majlis tersebut.

Seterusnya beliau berucap bahawa laporan ini, OECD Competition Assessment Review: Logistics Sector in ASEAN, dilakukan untuk menilai kesan peraturan terhadap persaingan di lima sektor, termasuk pengangkutan melalui jalan darat, jalan darat dan maritim termasuk penghantaran barang,gedung penyimpanan, perkhidmatan penghantaran pakej kecil dan perkhidmatan tambah nilai. Sektor-sektor tersebut merupakan kunci untuk pengembangan sektor perusahaan, khususnya PMKS dan perusahaan baharu, yang dapat menghasilkan pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan.

“Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, Suruhanjaya Persaingan Negara Brunei Darussalam (CCBD) berusaha untuk bekerjasama dengan kerajaan untuk meningkatkan sinergi antara undang-undang persaingan dan dasar persaingan untuk meningkatkan kecekapan pasaran dan meningkatkan kesejahteraan pengguna sambil mengekalkan kewangan awam yang sihat. CCBD akan berusaha untuk terus terlibat dengan pengawal selia yang relevan dan meningkatkan kesedaran mengenai dua laporan OECD.

“Diharapkan kajian penilaian persaingan dapat menjadi contoh bagi sektor lain untuk mendorong masuknya dimensi persaingan dalam perumusan dan pelaksanaan dasar awam” tambah Yang Berhormat lagi.

Selain itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew mengucapkan penghargaan kepada OECD, kerajaan United Kingdom (UK) dan yang terlibat dengan ASEAN dalam kejayaan menyiapkan laporan ini dan seterusnya berharap untuk dapat melebarkan kerjasama bersama OECD dan rakan ASEAN.

Turut sama pada pelancaran tersebut ialah Setiausaha Agung ASEAN, Dato Paduka Lim Jock Hoi; Setiausaha Agung OECD, Mathias Cormann; dan UK Minister of State (Minister for Trade Policy), Rt Hon Greg Hands MP.