LONDON, 17 OKT – Negara-negara anggota Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) akan membuat keputusan hari ini sama ada akan meluluskan secara rasmi pelan untuk mengurangkan pelepasan karbon, meskipun berdepan tentangan daripada Amerika Syarikat (AS).
IMO yang berpusat di London, badan pelayaran di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, telah mengundi pada April lalu untuk melaksanakan sistem harga karbon global bagi membantu mengurangkan pelepasan karbon sektor maritim.
Menjelang keputusan penting itu, China, Kesatuan Eropah, Brazil, Britain dan bebe-rapa negara anggota IMO lain mengulangi sokongan mereka terhadap pelan tersebut dalam satu sidang kemuncak di ibu negara Britain minggu ini.
Namun, ancaman Washington untuk mengenakan sekatan terhadap negara-negara yang menyokong pelan berkenaan menimbulkan keraguan terhadap masa depan Net Zero Framework (NZF), sistem harga karbon global pertama seumpamanya.
“Saya sangat marah kerana IMO akan mengundi di London minggu ini untuk meluluskan Cukai Karbon Global,” tulis Presiden AS, Donald Trump di platform Truth Social kelmarin.
“Amerika Syarikat TIDAK akan berdiam diri terhadap ‘Cukai Hijau Global’ ke atas sektor perkapalan ini,” tambahnya.
Minggu ini, AS mencadangkan perubahan terhadap proses pengundian bagi memberi lebih kuasa kepada undi berkecuali, satu cadangan yang akan dipertimbangkan pada awal hari ini. Jika diterima, cadangan itu berpotensi membatalkan pelan pengurangan karbon tersebut. – AFP


