PARIS, 30 JUN – Impak ekonomi akibat kemelesetan dalam pelancongan sejak pandemik meletus pada tahun lalu mencecah AS$4 trilion, menurut satu laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.
Laporan bersama oleh Pertubuhan Pelancongan Dunia PBB (UNWTO) dan Persidangan mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) mendapati kekurangan vaksinasi berleluasa di negara membangun telah mendo-rong kepada kerugian ekonomi yang meningkat.
“Pelancongan adalah nadi untuk jutaan orang, dan vaksinasi untuk melindungi komuniti dan menyokong permulaan semula pelancongan adalah penting kepada pemulihan pekerjaan dan penghasilan sumber yang amat diperlukan,” kata Setiausaha Agung UNWTO Zurab Pololikashvili dalam satu kenyataan.
Beliau berkata kebanyakan negara membangun amat bergantung pada pelancongan antarabangsa. Wabak koronavirus melumpuhkan perjalanan udara antarabangsa pada tahun lalu ketika banyak negara enggan membenarkan perjalanan tidak penting.
Ia mencetuskan kerugian AS$2.4 trilion dalam pelancongan dan sektor berkaitan pada tahun lalu, dan laporan mengingatkan kerugian sama mungkin dicatat pada tahun ini bergantung pada pengagihan vaksin COVID-19.
Menurut laporan, negara-negara berkenaan mengalami kemerosotan terbesar dalam ketibaan pelancong pada tahun lalu, dianggarkan di antara 60 peratus dan 80 peratus.
Walaupun sektor pelancongan dijangka pulih lebih cepat di negara dengan kadar vaksinasi tinggi, UNWTO tidak menjangka pelancongan antarabangsa akan kembali ke tahap prapandemik sehingga 2023 paling awal. – AFP