KAHERAH – Para pelancong mula kembali melancong ke Mesir secara perlahan-perlahan, memberi petunjuk yang baik ke atas sektor utama yang telah terjejas berikutan kegawatan ekonomi dan juga pengeboman pesawat yang membawa pelancong Rusia pada tahun 2015.
“Terdapat peningkatan dalam jumlah bilangan pelancong. Keadaan ini adalah lebih baik di bulan Januari berbanding tahun-tahun sebelum ini,” kata jurucakap Kementerian Pelancongan Omaima al-Husseini.
Pelawat dari China, Jepun dan Ukraine menyumbang sebahagian besar kepada pertumbuhan itu. Agensi pelancongan awam yang terkenal di China, China International Travel Service, melaporkan peningkatan sebanyak 58 peratus pelancong telah membuat penerbangan ke Mesir berbanding pada tahun 2015.
“Terdapat lebih banyak tempahan antara bulan Oktober 2016 dan Januari 2017 berbanding tahun lepas,” kata Ketua Pelancongan Persekutuan Mesir, Karim Mohsen.
“Terdapat peningkatan, terutamanya dalam sektor pelancongan kebudayaan di Kaherah, Luxor dan Aswan, tempat-tempat bersejarah utama,” katanya.
Titik peningkatan itu adalah tanda sebuah harapan bagi negara itu yang telah bergelut dengan kejutan ekonomi dari program pembaharuan ekonomi yang mengakibatkan inflasi mega. Sumber pendapatan mata wang asing utama iaitu sektor pelancongan mengalami masalah pada tahun 2011 selepas kebangkitan rakyat menggulingkan orang kuat Hosni Mubarak, telah memberi tekanan selama beberapa tahun dan juga mencetuskan pergolakan secara sekali-sekala.
Pemulihan dalam sektor ini kemudiannya terjejas dengan krisis terbaru. Pada bulan Jun 2015, rancangan pembunuhan beramai-ramai terhadap sekumpulan pelancong di sebuah kuil Luxor berjaya dielakkan apabila penyerang yang bersenjatakan senapang dan bahan letupan itu telah dipintas oleh polis.
Tetapi pada bulan Oktober pada tahun yang sama, kumpulan berani mati Islamic State, yang melancarkan pemberontakan di Semenanjung Sinai timur, telah mengatur serangan. Mereka telah mengebom sebuah pesawat Rusia yang membawa pelancong yang membuat percutian mereka ke Sharm el-Sheikh, sebuah tempat peranginan yang popular di Laut Merah. Kesemua 224 penumpang dan anak kapal terbunuh.
Rusia kemudian menggantung penerbangan mereka ke Mesir dan Britain juga memutuskan perjalanan mereka ke Sharm el-Sheikh. Jumlah pengunjung menjunam daripada 9.3 juta pada tahun 2015 kepada 5.3 juta pada tahun berikutnya, kata Husseini.
Tetapi pegawai-pegawai industri itu secara berhati-hati mengalu-alukan dengan apa yang mereka katakan adalah peningkatan yang ketara sejak bulan Oktober. Pada Disember 2016, sebanyak 551,600 pelancong melawat Mesir berbanding dengan 440,000 pada tahun sebelumnya, menurut agensi statistik kerajaan.
“Aktiviti-aktiviti pelancongan telah meningkat sedikit pada musim sejuk tahun 2016-2017,” kata Tamer al-Shaer, naib presiden agensi pelancongan Blue Sky.
Beliau berkata itu juga termasuk dengan peningkatan 30 peratus dari pelancong Ukraine dan 60 peratus pelawat dari China, dengan penerbangan harian ke Aswan, sebuah bandar selatan yang kaya dengan tapak-tapak purba.
Agensi pelancongan Jepun HIS berkata jumlah pelancong yang menuju ke Mesir adalah “berganda dengan empat hingga lima kali ganda” pada tahun lepas. Sejak penyataan rasmi persetujuan penerbangan dari Jepun ke Mesir disambung semula pada April 2016, secara purata jumlah penumpang penerbangan adalah 80 peratus penuh, kata salah seorang jurucakap ejen pelancongan Persatuan Jepun.
Mesir mengunjurkan rekod 14.7 juta pelancong asing pada tahun 2010, setahun sebelum penggulingan Mubarak dan kemelesetan ekonomi. Untuk mengembalikan semula, walaupun dua pertiga daripada jumlah itu, adalah merupakan matlamat utama kerajaan, tetapi ia bergantung kepada penyambungan semula penerbangan dari Rusia dan Britain, kata Husseini.
“Terdapat rundingan berterusan … kita berharap isu ini akan dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.
Lebih daripada 60 peratus daripada pelancong yang tiba di Sharm el-Sheikh menggunakan kapal terbang, yang kebanyakannya berasal dari Britain atau Rusia.
“Selagi Rusia tidak kembali semula, ia masih akan lumpuh,” kata persekutuan pelancongan Mohsen. “Rusia dan Britain adalah tulang belakang Sharm el-Sheikh.”
Negara-negara Eropah lainnya seperti Jerman dan Perancis telah mencatatkan sedikit peningkatan dalam tempahannya ke Mesir.
Pada awal Februari, empat negara Eropah yang lain – Denmark, Finland, Norway dan Sweden – telah memberi amaran perjalanan ke selatan Sinai, di mana Sharm el-Sheikh dan resort lain berada. – AFP