Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Industri pembinaan terus memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi Negara Brunei Darussalam dan menjadi antara penyumbang terbesar kepada hasil negara dengan $446.5 juta daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2022.
Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid semasa menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Meja Bulat Peringkat Menteri China-ASEAN mengenai Pembinaan yang berlangsung di Nanning, Republik Rakyat China, baru-baru ini.
Yang Berhormat Dato turut menggariskan pencapaian signifikan yang telah dikecapi oleh sektor pembinaan di negara ini, khususnya, pembinaan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien, jambatan terpanjang di Asia Tenggara dan pembangunan Projek Loji Penapisan Minyak Hengyi Industries Sdn Bhd.
Beliau turut menekankan pentingnya untuk mengambil kira teknologi inovatif dan kemampanan alam sekitar dalam pembinaan perumahan awam di samping meneroka penyelesaian perumahan vertikal demi memanfaatkan penggunaan tanah secara optimum dalam usaha untuk menampung keperluan bagi perumahan awam.
Mesyuarat bertema ‘Mencapai Manfaat Bersama dan Hasil Saksama Melalui Pembukaan dan Kerjasama, dan Mengongsikan Peluang-peluang Baharu dalam Kerjsama ASEAN-China dalam Bidang Pembinaan’ itu telah diadakan buat julung kalinya.
Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Pehin Orang Kaya Seri Pahlawan Kolonel (B) Dato Paduka Haji Abdu’r Rahmani bin Dato Paduka Haji Basir; Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Ir Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria, serta pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Pembangunan.
Mesyuarat berkenaan telah dipengerusikan oleh Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar-Desa, Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Ni Hong.
Dengan mesyuarat itu, ia dihasratkan sebagai wadah dalam usaha perlaksanaan Agenda Pembangunan Berdaya Tahan 2030 dan New Urban Agenda di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, di samping pengimplentasian Inisiatif Jalur dan Laluan dengan mengeratkan lagi kerjasama China-ASEAN dalam bidang perumahan dan pembangunan bandar dan desa.
Ini adalah selaras dengan aspirasi Perkongsian Strategik Komprehensif China-ASEAN
dan pengukuhan hubungan komuniti China-ASEAN dengan masa depan yang dikongsi bersama ke arah merealisasikan Wawasan Komuniti ASEAN 2025 dengan mendukung proses pembangunan komuniti ASEAN dan ASEAN sebagai pusat perkembangan.
Mesyuarat diakhiri dengan meluluskan Inisiatif Nanning, satu dokumen yang mencerminkan aspirasi yang dikongsi oleh menteri-menteri bertanggungjawab dalam bidang pembinaan daripada negara anggota ASEAN dan Republik Rakyat China untuk mengembangkan kerjasama China-ASEAN dalam bidang perumahan dan pembangunan bandar dan desa.
Mesyuarat telah diadakan bersempena dengan Ekspo China-ASEAN ke-20 dan berperanan sebagai platform bagi menteri-menteri untuk mengongsikan pengalaman dan membincangkan kerjasama dalam bidang-bidang berkenaan seperti perumahan, industri pembinaan serta pembangunan bandar dan desa.
Yang Berhormat Menteri Pembangunan turut menga-dakan mesyuarat dua hala de-ngan Pengerusi Rantai Autonomi Guangxi Zhuang, Tuan Yang Teruama Lan Tianli dan TYT Ni Hong secara berasingan.
Ini dengan petukaran amalan-amalan terbaik dan peningkatan kapasiti dalam pembinaan perumahan awam di kedua-dua buah negara.