Sunday, July 13, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sektor perbankan negara kekal berdaya tahan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JULAI – Sektor perbankan negara kekal berdaya tahan pada suku pertama tahun 2020, meskipun berhadapan persekitaran ekonomi dunia dan negara yang tidak menentu, akibat pandemik COVID-19.

    Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dalam satu Kenyataan Dasar AMBD bagi separuh pertama tahun 2020 yang dikeluarkan di sini hari ini menjelaskan beberapa dialog secara berterusan telah diadakan dengan pihak-pihak yang berkepentingan, termasuk Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MoFE) dan Persatuan Bank-bank Brunei (BAB) dalam menangani kesan pandemik COVID-19 terhadap ekonomi negara.

    Menurutnya lagi, beberapa langkah interim telah diperkenalkan yang bertujuan untuk mengurangkan tekanan kewangan yang dihadapi oleh syarikat-syarikat perniagaan serta individu-individu yang terkesan.

    Kenyataan menyatakan, AMBD akan sentiasa memastikan kecairan yang mencukupi untuk memastikan sistem kewangan akan dapat terus berfungsi dengan baik menerusi pengenalan langkah-langkah tambahan pengurusan kecairan bagi bank-bank tempatan.

    AMBD turut menekankan bahawa ekonomi global dijangka akan menurut sebanyak 4.9 peratus pada tahun ini, manakala ekonomi domestik meningkat sebanyak 3.9 peratus tahun-ke-tahun pada 2019.

    Kadar inflasi domestik pula diramalkan dalam lingkungan 1 sehingga 2 peratus bagi tahun ini.

    Dalam pada itu, AMBD turut komited meningkatkan rejim pengawalseliaan bagi perlindungan pemegang-pemegang polisi insurans atau Takaful di Negara Brunei Darussalam, AMBD telah mengeluarkan tiga notis dan garis panduan pada suku pertama 2020.

    Ini termasuk garis panduan untuk menyediakan pelan pemulihan (recovery plan) bagi syarikat insurans dan pengendali Takaful; garis panduan pengedaran secara dalam talian bagi syarikat insurans dan pengendali Takaful; dan garis panduan bagi pengedaran lebihan bagi pengendali Takaful.

    AMBD juga telah mengeluarkan Notice on Providing Market Access to a Foreign Market bagi pemegang-pemegang Capital Markets Services Licence pada 4 November 2019. Pemeriksaan on-site kali kedua telah selesai dijalankan dengan menggunakan metodologi penyeliaan berasaskan risiko (risk-based supervision) terhadap pengawalseliaan capital market intermediaries pada suku pertama 2020.

    Beberapa inisiatif di bawah Digital Payment Roadmap for Brunei Darussalam 2019-2025 sedang giat dijalankan.

    Ini, antara lainnya, termasuk penubuhan infrastruktur Hab Pembayaran yang akan membolehkan para pengguna untuk membuat pembayaran secara digital. Kerjasama dengan pihak berkepentingan seperti Majlis Ekonomi Digital akan sentiasa dilaksanakan untuk memastikan matlamat bagi projek tersebut adalah selaras dengan inisiatif-inisiatif negara.

    Kenyataan menambah, dengan pengeluaran notis mengenai pelan pemulihan bank pada 20 Disember 2019, bank-bank dikehendaki untuk menghadapkan pelan pemulihan masing-masing kepada AMBD sebelum 30 September 2020. Ini bertujuan untuk memastikan kesiapsiagaan bank-bank untuk sentiasa berdaya tahan dalam menghadapi sebarang tekanan.

    AMBD akan terus memantau perkembangan situasi COVID-19 dan bekerjasama dengan institusi-institusi kewangan untuk mengenalpasti langkah-langkah yang diperlukan untuk memastikan perkhidmatan kewangan akan terus berfungsi secara teratur. AMBD juga bersedia untuk melaksanakan langkah-langkah tambahan, jika perlu, demi menjaga kestabilan kewangan Negara Brunei Darussalam.

    Kenyataan Dasar AMBD 1/2020 yang lengkap boleh didapati di laman sesawang AMBD di www.ambd.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda