Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MAC – Berikutan penularan pandemik COVID-19 di negara ini, Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) bersama Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MoFE) dengan kerjasama Persatuan Bank-bank Brunei (BAB) selepas rundingan dengan pihak-pihak berkepentingan dan industri kewangan, akan melaksanakan beberapa langkah interim mengurangkan beban kewangan kepada beberapa sektor perniagaan.
Bagi menyokong sektor-sektor perniagaan dan memastikan kegiatan ekonomi juga tidak turut terjejas, AMBD dan BAB bersama MoFE telah mengenal pasti peranan penting industri perbankan dan bersetuju melaksanakan langkah-langkah menyokong sektor perniagaan dalam bentuk penangguhan pembayaran pokok pinjaman/pembiayaan selama enam bulan mulai 1 April ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah mengumumkan langkah bantuan itu pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-Afiah, hari ini.
Menurutnya, sektor-sektor yang terbabit merangkumi pelancongan, hospitaliti seperti perhotelan dan pengurusan acara dan restoran atau kafe (makanan dan minuman) serta pengangkutan udara.
Yang Berhormat Dato menjelaskan lagi bahawa penangguhan juga akan dilaratkan kepada perusahaan dalam bidang pengimportan bekalan makanan dan perubatan untuk membantu keperluan aliran tunai yang lebih tinggi dalam memenuhi peningkatan permintaan orang ramai.

Manakala semua bayaran dan caj bank, kecuali caj pihak ketiga yang berkaitan dengan transaksi perdagangan dan pembayaran bagi syarikat-syarikat dalam sektor-sektor ini, tidak akan dikenakan dalam tempoh enam bulan. Ia adalah untuk membantu perniagaan terus berdaya tahan dan seterusnya memberikan manfaat kepada orang ramai.
Yang Berhormat Dato turut menekankan dalam usaha menggalakkan penjarakkan sosial dan mengurangkan kunjungan ke bank-bank, bayaran dan caj pemindahan antara bank secara online juga akan dikecualikan selama enam bulan kepada semua pelanggan. Orang awam digalakkan untuk menggunakan platform pembayaran digital yang ditawarkan oleh bank-bank dan perkhidmatan pembayaran digital yang lain.
Dalam pada itu, beliau juga menggalakkan bank-bank untuk meneliti kadar pinjaman/keuntungan mengikut keadaan persekitaran semasa.
Bagi inisiatif tanggungjawab sosial pula, beliau menyeru agar bank-bank memperluaskan lagi aktiviti-aktiviti berkenaan.
“Kerjasama semua pihak berkepentingan secara pendekatan Whole of Nation termasuk pihak swasta diharapkan memainkan peranan masing-masing termasuk mengekalkan tenaga kerja yang sedia ada sementelah lagi dengan adanya langkah-langkah bantuan ini,” tambahnya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa sektor perbankan di negara ini kekal berdaya tahan, kukuh dan mempunyai dana modal yang mencukupi dan ia akan terus memantau perkembangan situasi ini bersama dengan institusi-institusi kewangan dan akan melaksanakan langkah-langkah tambahan jika perlu.
Bagi maklumat lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi bank-bank atau AMBD di talian 2388388 atau e-mel kepada info@ambd.gov.bn.