Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sektor tenaga di Asia Tenggara potensi jana hasil AS$100 bilion

    JAKARTA, 24 OGOS – Penggunaan sel fotovoltaik solar (PV), bateri dan industri motosikal elektrik dua roda (E2W) yang semakin meningkat di Asia Tenggara berpotensi menghasilkan antara AS$90 bilion dan AS$100 bilion menjelang tahun 2030, menurut laporan penyelidikan baru-baru ini.

    Laporan bertajuk “Renewable Energy Manufacturing: Opportunities for Southeast Asia” menyatakan  pertumbuhan itu berkemungkinan mewujudkan enam juta pekerjaan sektor tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050.

    Laporan yang dilancarkan pada Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN itu adalah kerjasama antara Asian Development Bank, Bloomberg Philanthropies, ClimateWorks Foundation, dan Sustainable Energy for All.

    Bagi mencapai potensi tersebut, ia mungkin melibatkan pengembangan kapasiti pembuatan PV solar daripada 70 gigawatt (GW) kepada julat 125-150 GW, kata laporan itu.

    Laporan itu mencadangkan penubuhan rantaian nilai pembuatan bateri di Asia Tenggara untuk memenuhi permintaan serantau dan global dengan matlamat untuk menghasilkan 140-180 GW-jam sel bateri.

    Untuk menampung pertumbuhan E2W, laporan itu mengesyorkan meningkatkan kapasiti pemasangan daripada 1.4 juta kepada 1.6 juta unit setiap tahun, ia akhirnya dijangka mencecah empat juta unit.

    Ia juga menekankan peluang rantau ini untuk memanfaatkan kerjasama, perdagangan dan peningkatan tenaga kerja untuk pertumbuhan tenaga boleh diperbaharui yang kompetitif dan mencapai matlamat pelepasan karbon sifar.

    Cadangan-cadangan lain termasuk memperluaskan Grid Tenaga ASEAN, menyelaraskan piawaian teknikal untuk kenderaan elektrik dan mengoptimumkan rantaian nilai.

    “Pembinaan Grid Tenaga ASEAN untuk membolehkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang lebih tinggi melalui perdagangan tenaga pelbagai hala dan kawasan pengimbangan grid yang diperluaskan dapat menyokong permintaan.

    “Pengharmonian piawaian teknikal untuk kenderaan E2W dan stesen pengecasan boleh membolehkan pengilang peralatan asal (OEM) membangunkan produk yang sesuai dengan keperluan pasaran,” katanya.

    Laporan itu juga memberi amaran bahawa tanpa melakukan sebarang tindakan, rantau ini berpotensi menghadapi kehilangan 30 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2050 akibat kesan perubahan iklim. – Bernama

    Foto hiasan dari Canva

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda