KOTA KINABALU, 24 APRIL – Sektor tenaga akan terus memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Sabah pada masa hadapan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata kerajaan negeri sudah melancarkan Hala Tuju Tenaga Sabah dan Pelan Induk 2040 (Sabah Energy RAMP 2040) bagi merangka dan menyediakan garis panduan utama bagi sektor tenaga negeri itu.
“Dengan adanya perancangan ini, Sabah seharusnya mampu membangunkan sepenuhnya sektor tenaga hijaunya yang berpotensi menyediakan sehingga 75 peratus bekalan tenaga hijau negara,” katanya pada Persidangan Tenaga Boleh Baharu Sabah 2025: Koridor untuk Mentransformasi Wawasan ke Realiti (SAREC 2025), hari ini.
Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
“Sabah dikurniakan dengan pelbagai sumber tenaga boleh baharu yang mampu menyumbang kepada transformasi negeri dan negara menjadi ekonomi bernilai tambah tinggi,” katanya. – Bernama
