BOGOTA, 25 JUN – Sekurang-kurangnya 10 orang maut manakala lapan lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh yang berpunca daripada hujan lebat berhampiran bandar Medellin, Colombia, menurut pegawai kerajaan kelmarin.
Gabenor wilayah Antioquia, Andres Julian Rendon mengesahkan angka korban dan berkata penduduk tempatan telah diberi amaran untuk berpindah dari kawasan perbandaran Bello, yang masih berisiko dilanda tanah runtuh.
Menurut laporan media, sekurang-kurangnya 15 orang masih dilaporkan hilang dalam kejadian itu yang berlaku akibat banjir di kawasan lurah.
Imej yang dikongsi media tempatan menunjukkan rumah-rumah tertimbus di lereng gunung yang terletak bersempadan dengan bandar kedua terbesar di Colombia.
Satu gambar yang dikongsikan Jabatan Pengurusan Bencana Medellin pula memaparkan sebuah kereta dan jalan raya yang dilitupi lumpur tebal.
Pengguna media sosial X turut berkongsi gambar dan video keadaan jalan-jalan di Bello yang dilanda banjir.
Antioquia, yang terletak di kawasan Pergunungan Andes barat Colombia, sering terdedah kepada kejadian tanah runtuh ketika musim hujan.
Bulan lalu, sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di Sabaneta, sebuah lagi kawasan pinggir Medellin. – AFP


