ABUJA, 12 MAC – Sekurang-kurangnya 26 orang maut akibat wabak Meningitis Serebrospinal (CSM) yang melanda empat kawasan kerajaan tempatan di negeri Kebbi, barat laut Nigeria, menurut pihak berkuasa kesihatan kelmarin, lapor Xinhua.
Pesuruhjaya Kesihatan Kebbi, Musa Ismaila memberitahu media di ibu negeri, Birnin Kebbi, bahawa wabak yang diisytiharkan pada akhir Januari itu meragut lebih banyak nyawa minggu lalu akibat peningkatan mendadak kes disyaki.
“Sebanyak 248 kes disyaki direkodkan. Kami berdepan situasi wabak dengan jumlah kes lebih tinggi daripada biasa, yang menunjukkan gejala seperti demam, sakit kepala yang teruk, leher kejang, sakit perut, muntah, cirit-birit dan sensitif terhadap cahaya,” katanya.
Ubat-ubatan dan bekalan perubatan lain diedarkan ke kawasan terjejas, manakala kerajaan negeri sedang berusaha membendung situasi itu.
Wabak CSM kebanyakannya disebabkan oleh Neisseria meningitidis serogroup A. Di Nigeria, wabak seperti itu lazimnya berlaku pada musim kemarau akibat kelembapan rendah dan keadaan berdebu serta biasanya berkurangan apabila musim hujan bermula. – Bernama
