SEL sediakan kursus pembelajaran praktikal dalam talian

Oleh Daniel Lim

BELAIT – Dalam membantu mempromosikan pembelajaran melalui praktikal, Makmal Tenaga Seria (SEL) telah mula menjalankan beberapa siri kursus pembelajaran dalam talian bermula awal bulan ini sempena Festival Disember Brunei (BDF).

Salah satu daripadanya termasuk Program Dalam Talian MegaTrex, yang mana menurut SEL adalah sebahagian daripada Hab Inovasi menyediakan platform untuk pelajar Brunei mendapat pendedahan melalui pembelajaran secara langsung mengenai subjek robotik, pengekodan dan konsep matematik.

Dengan kursus dalam talian yang diadakan selama dua jam yang diketuai oleh Pemudah Cara STEM SEL, Hilmi Rashid, pelajar yang mengambil bahagian bukan sahaja dapat mengetahui lebih lanjut tentang SEL serta pengenalan ringkas kepada Hab Inovasi dan kursus MegaTrex dalam talian; tetapi juga mendapatkan pengalaman langsung dalam pengekodan blok mudah melalui lama sesawang yang direka khas.

Tambahan pula, pengekodan yang terhasil juga digunakan dengan baik dalam aktiviti Pembersihan Terumbu Karang seterusnya; di mana melalui penggunaan laman sesawang, pengekodan yang telah dipamerkan sebelum ini adalah senario simulasi bagi memprogramkan robot untuk membersihkan sampah di terumbu karang.

Di samping itu, SEL juga telah memulakan Pengaturcaraan M-Block mereka yang merupakan projek pembelajaran kendiri yang menyediakan panduan asas pemula mengenai sistem pengaturcaraan M-Block tersebut. Sebagai projek pembelajaran kendiri, SEL menyediakan peserta dengan peralatan dan aplikasi yang diperlukan untuk mempelajari sistem yang boleh disiapkan dalam masa empat hingga tujuh hari.

Dengan BDF berlangsung dengan baik, SEL dijadualkan untuk meneruskan kursus dalam talian mereka; dengan lebih banyak maklumat boleh didapati di media sosial rasmi mereka.

Hilmi Rashid ketika mengetuai kursus MegaTrex yang diadakan secara dalam talian.