Saturday, July 12, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sel tahanan rahsia terbongkar

    MANILA, 28 April – Kira-kira 12 orang ditemui diasak di dalam bilik sempit bersaiz stor kecil yang tersembunyi di belakang almari buku di sebuah balai polis Filipina, yang mencetuskan kecemasan seterusnya tentang penganiayaan di bawah usaha memerangi dadah oleh Presiden Rodrigo Duterte.

    Anggota-anggota suruhanjaya hak asasi kemanusiaan kerajaan, diiringi oleh wartawan-wartawan, telah menemui lelaki dan wanita dalam lawatan mengejut ke stesen itu yang terletak di kawasan sesak Manila petang semalam.

    Jeritan “kami di sini, kami di sini,” kedengaran dari belakang tembok, menurut para pekerja hak asasi kemanusiaan dan wartawan-wartawan.

    Para pekerja hak asasi itu kemudian menemukan pintu tersembunyi di belakang almari buku, menuju ke bilik kecil itu.

    Tahanan-tahanan yang tergamam berjalan terhuyung-hayang keluar dari bilik itu, sesetengah mereka meminta air, manakala yang lain, dalam tangisan merayu kepada para pekerja supaya tidak meninggalkan mereka.

    Para tahanan berkata mereka telah ditahan kira-kira selama seminggu selepas diberkas atas tuduhan mengambil atau menyeludup dadah dan polis telah menuntut pembayaran besar sebagai ganti bagi kebebasan mereka.

    Para tahanan yang dipercayai disembunyikan di dalam sebuah bilik rahsia di Unit Penguatkuasaan Dadah di Jabatan Polis Manila, Balai Polis 1 di kawasan Tondo, Manila. – AFP
    Para tahanan yang dipercayai disembunyikan di dalam sebuah bilik rahsia di Unit Penguatkuasaan Dadah di Jabatan Polis Manila, Balai Polis 1 di kawasan Tondo, Manila. – AFP

    “Mereka ditahan dengan alasan dadah tetapi pihak polis tidak mengenakan sebarang dakwaan ke atas mereka,” Gilbert Boinser, pengarah Manila bagi suruhan-jaya hak asasi yang mengetuai pemeriksaan itu memberitahu AFP hari ini.

    Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan berkata kejadian itu adalah satu lagi tanda penganiayaan hak asasi yang berleluasa di bawah usaha Duterte memerangi dadah yang telah menyaksikan beribu-ribu orang yang disyaki terlibat dengan dadah dibunuh sama ada oleh anggota polis atau penyokong-penyokong tegar misteri usaha memerangi dadah itu.

    “Penemuan penjara rahsia adalah tanda terbaru bagaimana polis mengeksploitasi kempen antidadah keras Duterte bagi kepentingan peribadi,” menurut kenyataan Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda