BERLIN, 31 OGOS — Panda gergasi pertama yang dilahirkan di Jerman menyambut ulang tahun keempatnya hari ini ketika Zoo Berlin mengadakan persiapan untuk menghantar haiwan itu ke China, perjalanan yang tertunda akibat pandemik COVID-19.
Pit dan Paule, yang juga dikenali dengan nama Cina, Meng Xiang dan Meng Yuan, telah menjadi tarikan utama di zoo berkenaan sejak kelahirannya pada 2019. Hari ini, penjaga menghadiahkan haiwan itu kek ais yang diperbuat dengan epal, lobak merah dan ubi bit, serta hidangan sampingan daripada salji.
Walaupun China selama beberapa dekad menghadiahkan negara sahabat dengan maskot tidak rasminya sebagai sebahagian daripada dasar ‘diplomasi panda’, negara itu kini meminjamkan panda kepada zoo bagi tujuan komersial. Ibu bapa Pit dan Paule, Jiao Qing dan Meng Meng, tiba di Berlin pada 2017.
Florian Sicks, kurator zoo bagi haiwan mamalia, berkata panda muda itu adalah milik China dan Pusat Panda di Chengdu, dan pegawai berharap pasangan haiwan itu akan pergi ke sana tidak lama lagi.
“Sebagai peraturan, penghantaran ini berlaku pada usia dua atau tiga tahun,” kata Sicks.
“Disebabkan oleh pandemik, ia tertangguh sedikit sehingga haiwan itu kini menyambut ulang tahun keempatnya di sini, yang sudah tentu kami sangat, sangat gembira. Tetapi pada masa ini, kami mengandaikan bahawa ini mungkin akan menjadi hari lahir terakhirnya di sini di Berlin,” tambahnya. – AP