Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    ‘Selamat jalan empat panda’

    TOKYO, 19 FEB – Ribuan peminat Jepun hari ini mengucapkan selamat tinggal kepada empat panda kesayangan yang akan dikembalikan ke China minggu ini, dengan beberapa pengunjung menitiskan air mata.

    Pengunjung berpusu-pusu ke Zoo Ueno Tokyo untuk melihat Xiang Xiang buat kali terakhir, yang telah menjadi tarikan besar untuk taman itu sejak kelahirannya pada 2017, dan ke taman di wilayah barat Wakayama untuk tiga panda yang lainnya.

    Di Tokyo, kebenaran melihat kali terakhir Xiang Xiang, anak panda pertama zoo sejak 1988, dihadkan kepada 2,600 pengunjung yang memenangi tiket loteri bertuah, tetapi beberapa peminat yang tidak menang masih datang.

    “Saya mahu menghirup udara yang sama,” seperti Xiang Xiang, kata Mari Asai memberitahu akhbar harian Asahi Shimbun.

    “Walaupun saya tidak dapat melihatnya, hati saya dipenuhi dengan kegembiraan mengetahui ia ada di sana,” kata lelaki berusia 48 tahun itu.

    Panda betina, Xiang Xiang makan buluh menjelang pengembaliannya ke China, di Taman Zoologi Ueno, Tokyo pada 19 Februari. – AP
    Pengunjung menggambar Xiang Xiang di Zoo Ueno. – AP

    Seorang lagi pengunjung memberitahu media tempatan sambil menangis yang dia mahu lebih dekat dengan panda berusia lima tahun itu.

    “Segala-gala tentangnya adalah comel, sama ada tidur atau terjaga,” katanya.

    Zoo Ueno menerima panggilan dan e-mel setiap hari daripada peminat panda yang memintanya untuk mengekalkan Xiang Xiang, lapor harian Tokyo Shimbun, memetik seorang pegawai zoo.

    Panda itu pada mulanya ditetapkan untuk pulang ke China pada 2021 tetapi perjalanannya ditangguhkan beberapa kali akibat sekatan perjalanan yang dikaitkan dengan wabak itu.

    Di Wakayama, pelawat datang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Eimei, yang menjadi panda jantan tertua di dunia yang mempunyai anak panda pada usia 28 tahun semasa tahun 2020, bersamaan dengan usia 80an untuk manusia, serta anak kembar betina.

    “Semuanya sangat comel sehingga saya hampir menangis,” kata seorang wanita dalam lingkungan 70an kepada penyiar awam NHK.

    “Saya sedih ia akan pulang ke China.”

    Mamalia berwarna hitam dan putih itu sangat popular di seluruh dunia dan China meminjamkannya sebagai sebahagian daripada program ‘diplomasi panda’ untuk memupuk hubungan asing.

    Dianggarkan terdapat 1,860 panda gergasi yang ada di alam liar, terutamanya di hutan buluh di pergunungan China, menurut kumpulan alam sekitar WWF.

    Terdapat kira-kira 600 dalam kurungan di pusat panda, zoo dan taman hidupan liar di seluruh dunia. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...