Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Selamat melangkah ke ‘rumah kedua’

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Suasana riuh rendah penuh keceriaan dan adakalanya tangisan memecah ruang kelas adalah sesuatu yang lumrah dalam kehidupan anak-anak kecil yang baharu pernah menjejakkan kaki ke alam persekolahan.

    Itu bukan suatu yang mudah bagi guru namun dengan adanya sikap tenang dan sabar adalah kunci segalanya demi membiasakan murid-murid menjalani kehidupan baharu di ‘rumah kedua’ mereka.

    Apabila berkesempatan ditemui penulis, guru kelas pra di Sekolah Rendah Bendahara Sakam, Bunut, Kluster 4, Daerah Brunei dan Muara, Hajah Marliana binti Haji Ahmad menjelaskan bahawa sebelum ini, pihak sekolah bersama guru pra telah mengadakan program Orientasi Prasekolah untuk Kanak-kanak Baharu Prasekolah Tahun 2024 sekitar November lalu.

    Jelasnya, program berkenaan merupakan salah satu inisiatif yang diterapkan oleh Kementerian Pendidikan melalui Unit Pendidikan Awal Kanak-kanak (UPAKK) bagi membantu kanak-kanak menyesuaikan diri dengan suasana permulaan persekolahan.

    Menerusi program berkenaan yang dilaksanakan di setiap sekolah rendah kerajaan di seluruh negara itu sememangnya sejajar dengan tujuan yang diharapkan oleh Kementerian Pendidikan khususnya UPAKK bagi mengurangkan kadar kanak-kanak merasa takut, gelisah mahupun menangis semasa hari pertama sekolah dimulakan.

    Hajah Marliana selaku guru kelas pra di Sekolah Rendah Bendahara Sakam, Bunut, Kluster 4, semasa ditemui penulis, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    NURDIYANAH R.
    Keterujaan murid-murid pra dalam mengikuti proses pembelajaran bersama guru dan kawan-kawan sekelas. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    “Selaku guru kelas, salah satu perkara yang turut saya laksanakan beberapa hari sebelum kemasukan mereka di sekolah ialah penyediaan bilik darjah dalam keadaan kondusif seperti menyediakan kelengkapan meja dan kerusi yang selamat, penyediaan perabot bagi penyimpanan beg dan bekal makanan murid-murid agar lebih teratur dan sebagainya,” kongsinya yang telah menerima seramai 16 orang murid secara keseluruhan yang mendaftar di sekolah tersebut.

    TINGKAT PEMAHAMAN IBU BAPA ATAU PENJAGA

    Hajah Marliana turut berkongsi bahawa selain program orientasi, ibu bapa atau penjaga murid-murid pra turut diberikan dua taklimat utama pada bulan November lalu. Salah satunya taklimat mengenai kemasukan prasekolah antaranya bagi mengongsikan segala proses pengajaran dan pembelajaran yang bakal ditempuhi oleh anak-anak mereka sepanjang mengikuti prasekolah.

    “Taklimat khusus bacaan fonik bahasa Melayu turut diketengahkan kepada golongan ibu bapa atau penjaga di mana adalah menjadi matlamat kami membantu sekurang-kurangnya ibu bapa atau penjaga bagi mengetahui pengetahuan asas bagaimana teknik mengajar anak-anak mereka membaca atau ketika mengulang kaji di rumah masing-masing,” jelas beliau lagi yang sudah hampir 13 tahun menanai amanah selaku guru pra di sekolah tersebut.

    FOKUS PERKEMBANGAN HOLISTIK

    Menyentuh mengenai pembelajaran asas murid-murid prasekolah, Hajah Marliana berkata penekanan yang diberikan kepada mereka bukanlah semata-mata memperkasakan aspek akademik bahkan juga menjurus kepada nilai-nilai bukan akademik seperti mendidik emosi, sosial, fizikal dan kreativiti murid-murid lebih-lebih lagi ketika berada di sekolah.

    “Dari hari ke hari, kami berharap murid-murid agar berani dan yakin untuk berkomunikasi dengan kawan-kawan dan guru-guru mereka tanpa adanya rasa takut dan malu.
    “Saya lebih menyukai murid-murid untuk melukis sendiri mengikut tema-tema tertentu apabila mereka diberikan sekeping kertas lukisan. Kebebasan mereka untuk berkarya begitu penting dititikberatkan kerana dari situlah jiwa kreativiti mereka terus mengalir,” ujarnya.

    PERPADUAN ANTARA GURU DAN IBU BAPA

    Sehubungan itu, Hajah Marliana turut melahirkan harapan tulus agar hubungan antara guru dan ibu bapa atau penjaga itu perlu dijalin dengan erat bagi sama-sama meningkatkan prestasi murid-murid atau anak-anak mereka ke arah yang lebih positif dari semasa ke semasa.

    “Dalam hal ini, sokongan ibu bapa atau penjaga murid-murid amat diperlukan lebih-lebih lagi ketika anak-anak membuat kerja rumah dan juga mengulang kaji pelajaran mereka.

    Biarkan anak-anak biskita melakukan tugasan mereka sendiri dengan semampu mereka meskipun hasil yang dibuat tidak sempurna seperti yang diinginkan namun apa yang penting adalah pemantauan biskita dari semasa ke semasa agar tiada berlaku sebarang kesalahan tertentu,” tekannya.

    Dalam usaha bagi meningkatkan perpaduan dan persefahaman antara guru dan ibu bapa atau penjaga, beliau telah menubuhkan satu kumpulan dalam aplikasi WhatsApp agar segala maklumat dan penerangan lanjut mengenai rutin pembelajaran murid-murid dapat dikongsikan dengan lebih efektif dan efisien.

    “Saya begitu menggalakkan ibu bapa atau penjaga supaya sentiasa berkomunikasi dengan anak, lebih-lebih lagi ketika mereka mengajukan pertanyaan mahupun permasalahan dalam pembelajaran anak-anak dari semasa ke semasa. Dari situlah kita dapat terus memantau segala aspek keperluan murid-murid demi sama-sama meningkatkan prestasi dan perkembangan mereka,” ucapnya di akhir pertemuan bersama media, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda