SYDNEY, 31 Dis – Bandar terbesar Australia, Sydney mempamerkan pertunjukkan bunga api terbesar bagi mengalu-alukan Tahun Baharu 2019, sekali gus memulakan keraian buat berbilion-bilion penduduk di seluruh dunia.
Satu rekod kesan bunga api telah mewarnai langit bandar tersebut selama 12 minit dan lebih daripada 1.5 juta orang, yang memenuhi pelabuhan dan taman, kelihatan penuh teruja.
Satu ribut kilat kelihatanya tidak mematahkan semangat orang ramai untuk memilih tempat-tempat strategik bagi menyaksikan pertunjukkan bunga api, dengan menikmati satu pertunjukkan kecil bunga api di Sydney Harbour Bridge menjelang acara utama pada tengah malam.
Bagi meraikan tahun antarabangsa bagi bahasa asli tahun 2019, pelabuhan juga menghoskan satu acara meraikan warisan penduduk asli termasuk tayangan animasi di pilon jambatan itu. Atmosfera keraian itu akan tersebar di seluruh bandar-bandar utama Asia, Eropah, Afrika dan Amerika.
Sementara itu kehadiran anggota polis juga menjadi kunci utama keraian, bagi melindungi orang ramai yang mungkin menjadi sasaran pengganas atau serangan kenderaan.

Di Jakarta, ratusan pasangan mengikat tali perkahwinan dalam satu perkahwinan besar-besaran, sementara mereka yang berada di wilayah Banten yang terjejas dengan tsunami diberitahu untuk membatalkan kesemua jenis keraian bagi menghormati mangsa-mangsa.
Sementara itu, konsert-konsert dan persembahan lampu akan diadakan di seluruh taman-taman bandar Moscow dan lebih daripada 1,000 gelanggang ais telah dibuka untuk orang ramai.
Di Paris pula, pertunjukkan bunga api, lampu dan bunyi dengan tema ‘persaudaraan’ dijangka diteruskan di Champs-Elysees meskipun adanya rancangan bantahan ves kuning di tempat terkenal itu.
Manakala pencinta muzik dijangka berseronok pada satu konsert di Brandenburg Gate, Berlin, namun tradisi terkenal Jerman iaitu meraikan Tahun Baharu dengan pertunjukkan bunga api telah diharamkan di beberapa buah bandar atas sebab keselamatan.
Di ibu negara Britain menyaksikan Tahun Baharu dirai bersama hubungannya dengan Eropah meskipun di tengah-tengah ketegangan referendum Brexit, dengan pertunjukkan bunga api di London Eye menampil persembahan muzik dari beberapa orang artis di benua itu. – AFP