Thursday, February 6, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Selamat Tahun Baharu 2023!

    NEW YORK, 1 JAN – Sambutan tahun baharu diraikan dengan meriah di seluruh dunia, mengalu-alukan 2023 dengan kiraan detik dan bunga api –menamatkan tahun yang menyaksikan perang di Eropah, satu permulaan era baharu dalam monarki Britain dan kebimbangan global mengenai inflasi.

    Dengan zon masa yang berbeza di setiap ceruk dunia, tahun baharu disambut bermula di negara atol, Kiribati di Pasifik Tengah, kemudian beralih ke seluruh Rusia dan New Zealand sebelum menghala ke negara-negara lain di Asia, Timur Tengah, Eropah sehinggalah benua Amerika.

    Bebola gergasi diturunkan di kawasan ikonik New York, Times Square ketika orang ramai mengira detik beberapa saat sebelum memasuki 2023. Ia diikuti dengan sorakan gemuruh dan konfeti bergemerlapan yang digugurkan di tengah-tengah skrin gergasi, limpahan cahaya neon dan jalan raya yang basah.

    Ia bagaimanapun dicemari dengan sedikit keganasan apabila seorang lelaki membawa parang menyerang pegawai polis berhampiran kawasan keraian, kata pihak berkuasa. Lelaki itu kemudian ditembak oleh polis di bahu kira-kira lapan blok dari Times Square. Dua pegawai itu dimasukkan ke hospital.

    Di seluruh dunia, sekurang-kurangnya untuk sehari, ramai yang memfokuskan azam bagi memastikan keamanan dunia serta pelbagai lagi azam yang akan dicapai pada tahun ini.

    Cahaya bunga api menerangi lelangit pergunungan alps Nordekette di Inssbruck, Austria pada malam keraian Tahun Baharu 2023, 1 Januari. –AP

    Seorang wanita merakamkan gambar anak-anaknya berhampiran tanda 2023 yang bercahaya di bandar Nasiriyah, Iraq semasa sambutan tahun baharu. –AFP

    Sambutan diteruskan di Champ Elysees, Paris, dengan Presiden Emmanuel Macron menjanjikan sokongan Perancis dan Eropah kepada Ukraine.

    Di Britain, ketika Big Ben berdetik jam 12, kira-kira 100,000 orang berhimpun di Sungai Thames menyaksikan pertunjukan bunga api di London Eye. Ia mempamerkan cahaya dibawakan dron yang memaparkan tiara dan potret Ratu Elizabeth II di syiling, memberikan penghormatan kepada ratu Britain yang paling lama memerintah dan meninggal dunia pada September.

    Di Brazil, beberapa buah bandarnya membatalkan keraian kerana kebimbangan koronavirus meskipun terdapat keraian di pantai Copacabana, Rio de Janeiro, namun dengan jumlah orang yang berhimpun sedikit berbanding 2 juta sebelum pandemik.

    Ibu negara Turkiye, Istanbul menyambut 2023 dengan festival jalanan dan bunga api, manakala di Vatican City, sedikit suram apabila ia mengumumkan kematian bekas Pope Benedict XVI pada usia 95 tahun sebelum tahun baharu.

    “Saya ucapkan selamat tahun baharu kepada semua, semoga aman damai dan saling menyayangi,” kata Tina Wright yang menyertai orang lain pada sambutan di New York yang dibasahi hujan, namun tidak menghalang orang ramai meraikannya di seluruh Amerika Syarikat.

    “Tahun 2023 adalah mengenai kebangkitan – kebangkitan dunia selepas COVID dan selepas perang di Ukraine. Kami mahu ia berakhir,” kata Arjun Singh di Times Square.

    Di Australia, lebih 1 juta orang hadir di dermaga Sydney dengan lebih 7,000 bunga api dilancarkan di Sydney Harbour Bridge dan 2,000 lagi dari Opera House berhampiran.

    China bagaimanapun berhati-hati melangkah ke tahun 2023 selepas pelonggaran sekatan pandemik baru-baru ini, menandakan kehidupan kembali ke normal.

    Namun seperti kebanyakan orang, jurujual Hong Xinyu meraikannya di rumah sahaja sebahagian besarnya kerana sekatan perjalanan.

    “Ketika tahun baharu bermula, kami mula nampak cahaya,” katanya ketika menunggu pe-ngiraan detik tengah malam dan menyaksikan struktur menara bermandikan cahaya. “Kami berharap lebih banyak kebebasan pada masa depan,” tambahnya. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda