Wednesday, November 27, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Selamat Ulang Tahun ABDB

    Oleh Pehin Kolonel (B) Dato Paduka Haji Abdul Jalil bin Haji Ahmad

     

    PADA 31 Mei baru-baru ini, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telahpun meraikan hari ulang tahunnya yang ke-56 tahun. Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh anggota ABDB sama ada yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara.

    Kepada anggota-anggota ABDB yang telah kembali ke Rahmatullah, yang berjuang demi mempertahankan kedaulatan raja dan tanah air tercinta ini, marilah sama-sama kita sedekahkan Surah Al-Fatihah semoga roh mereka sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama kalangan orang yang beriman dan soleh. Jasa-jasa mu akan sentiasa tetap dikenang hingga ke akhir hayat.

    Sebagai bekas anggota ABDB, penulis amat bersyukur kerana telah berkesempatan dapat berkhidmat dan seterusnya melibatkan diri demi mempertahankan dan memelihara kedaulatan dan keselamatan raja dan negara yang tercinta ini. Dengan visi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien yang jauh ke hadapan, Baginda telah memperkenankan bagi penubuhan Pasukan Askar Melayu Brunei pada 31 Mei 1961.

    31 Mei adalah satu tarikh yang penuh bersejarah bagi Negara Brunei Darussalam kerana pada tarikh tersebut Al-Marhum ditabalkan menjadi Sultan Brunei ke-28 dan Baginda juga dipuspakan dalam satu istiadat yang penuh gilang-gemilang pada 31 Mei 1951.

    Walaupun negara kita kecil dan belum lagi mencapai kemerdekaan sepenuhnya pada masa itu, kita sebagai rakyat turut merasa bangga kerana mempunyai sebuah pasukan pertahanan yang boleh dibanggakan.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika berkenan bergambar ramai bersama para pegawai ABDB berpangkat Lt Kol ke atas - 1991.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika berkenan bergambar ramai bersama para pegawai ABDB berpangkat Lt Kol ke atas – 1991.

    Daripada sebuah pasukan pertahanan yang kecil, kita sekarang mempunyai ABDB yang canggih dan boleh berdiri sama tinggi serta duduk sama rendah dengan angkatan-angkatan bersenjata di rantau ini.

    Pada 24 Disember 1960, penulis merasa bangga apabila tiga orang anak muda Brunei telah dipilih untuk menjalani latihan Pegawai Kadet di Maktab Tentera Persekutuan Malaya (Federation Military College, Malaya) melalui siaran radio. Mereka itu ialah Awang Sulaiman bin Awang Damit, Mohammad bin Daud dan Awangku Ibnu bin Pengiran Apong.

    Adalah difahamkan bahawa seramai 14 orang anak muda dengan semangat yang berkobar-kobar telah menyahut seruan pengambilan bakal-bakal pegawai bagi penubuhan Askar Melayu Brunei. Bagaimanapun setelah diteliti hanya tujuh calon yang diberikan ujian-ujian seperti ujian ketahanan jasmani dan larian berhalangan di kawasan Tasik, Bandar Brunei.

    Mereka bertiga ini telah dijadikan perintis sebagai pegawai tentera yang bertauliah dengan pemilihan ini. Ia merupakan satu langkah permulaan bagi mereka yang telah menjalani latihan ketenteraan yang sangat lasak di Port Dickson, Malaya, selama dua tahun mulai 2 Januari 1961 hingga 8 Disember 1962. Pada pertengahan tahun 1961, tempat latihan tersebut berpindah dari Port Dickson ke tempat baru iaitu di Sungai Besi.

    Latihan selama dua tahun itu sudah tentu memerlukan kegigihan dan ketabahan yang amat besar. Tidak disangkalkan bahawa pemilihan bakal pegawai tentera tiga orang ini adalah tepat sekali dan kita turut berbangga atas pencapaian mereka yang sekarang ini dikenali sebagai Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Ba’asith bin Pengiran Datu Penghulu Pengiran Haji Apong, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Awang Mohammad bin Haji Daud dan Allahyarham Yang Dimuliakan Pehin Datu Indera Setia Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Sulaiman bin Haji Awang Damit. Mereka ini pada satu ketika dahulu sering dikenali dengan panggilan ‘The Three Musketeers’.

    Dari tahun ke tahun, jumlah keramaian dan kekuatan anggota askar Brunei semakin meningkat dan pada penghujung tahun 1963, seramai tiga orang pegawai lagi telah menamatkan latihan mereka di Maktab Tentera Persekutuan Sungai Besi, Malaya. Mereka itu ialah Leftenan Muda Mohd Husin bin Mohammad (Allahyarham bersara sebagai Mejar), Leftenan Muda Mohd Arifin bin Abd Wahab (bersara sebagai Yang Dimuliakan Pehin Datu Indera Negara Leftenan Kolonel (B) Dato Paduka Haji Mohd Arifin bin Dato Paduka Haji Abd Wahab) dan Leftenan Muda Yusof bin Said (Allahyarham bersara sebagai Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Mejar (B) Haji Yusof bin Haji Said).

    Dari kiri: 2Lt Husin, 2Lt Yusof, Lt Sulaiman, Lt Kol Tengku Ahmad, Lt Ak Ibnu, Lt Mohammad dan 2Lt Arifin.
    Dari kiri: 2Lt Husin, 2Lt Yusof, Lt Sulaiman, Lt Kol Tengku Ahmad, Lt Ak Ibnu, Lt Mohammad dan 2Lt Arifin.
    Kapten Husin bin Ahmad.
    Kapten Husin bin Ahmad.

    Dalam waktu yang sama, dua orang anak muda Brunei telah pun mengikuti satu program latihan tentera di sekolah tentera ‘Boys Wing’ di Sungai Besi, Malaya. Setelah menamatkan latihan itu dengan jayanya, mereka pun ditauliahkan dengan pangkat Leftenan Muda. Mereka ini ialah Leftenan Muda Musa bin Ya’akub dan Leftenan Muda Abd Karim bin Mohammad.

    Pada 8 Oktober 1966, satu peristiwa bersejarah telah pun berlaku yang melibatkan anggota-anggota Askar Melayu Brunei, di mana mereka telah terlibat dalam gerakan mencari saki-baki kumpulan Tentera Nasional Kalimantan Utara di kawasan hutan Daerah Temburong. Leftenan Muda Musa dan Leftenan Muda Husin bin Ahmad diarahkan bersama platun masing-masing untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut.

    Dengan adanya ketabahan hati yang cekal dan latihan-latihan ketenteraan yang cukup lengkap, Leftenan Muda Musa dan Leftenan Muda Husin bersama-sama platun mereka telah berjaya menawan empat orang pemberontak di Sungai Mani, Batang Duri, di hutan Daerah Temburong.

    Bagi mengenang jasa dan kejayaan mereka itu, Leftenan Muda Musa dan Leftenan Muda Husin telah dianugerahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan bintang kebesaran negara iaitu Darjah Perwira Agong Negara Brunei Yang Amat Setia (PANB).

    Mereka sekarang telah pun bersara dan kini dikenali dengan Yang Dimuliakan Pehin Datu Maharajalela Leftenan Kolonel (B) Dato Seri Laila Jasa Awang Haji Musa bin Haji Ya’akub dan Yang Dimuliakan Pehin Datu Harimaupadang Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Husin bin Ahmad.

    Dengan bakti yang telah dicurahkan kepada raja dan negara, nama Askar Melayu Diraja Brunei kian mengharum dan mengembang menjadi satu tampuk payung keselamatan bagi negara yang tercinta ini.

    Semoga kepercayaan yang telah diberikan oleh negara dan rakyat kepada satu-satunya pasukan keselamatan ini akan berpanjangan dan terus kekal, Insya-Allah.

    Inilah satu amanat yang amat besar bagi seluruh peringkat purih perwira-perwira anak watan Negara Brunei Darussalam.

    Kepada seluruh anggota ABDB diucapkan ‘Selamat Bertugas’ dan semoga akan sentiasa berada di bawah perlindungan Allah Subhanahu Wataala. Kepada kawan-kawan seperjuangan yang telah bersara, diiringi doa semoga sihat walafiat, dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Jasa-jasa mu akan tetap dikenang…”Good Luck dear Comrades in Arms”

    (Penulis adalah bekas Pemerintah Angkatan Tentera Laut Diraja Brunei)

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda