Saya ada membaca berita Media Permata bertarikh 2 September bertajuk ‘Penggunaan skrin maksimum 2 jam sehari bagi 6–18 tahun’ dan bersetuju dengan inisiatif tersebut.
Malah, pada pendapat saya, had masa skrin sepatutnya bukan sahaja terhad kepada kanak-kanak berusia enam tahun ke atas, malah termasuk juga kanak-kanak bawah enam tahun hingga ke anak damit.
Sebagai seorang ibu bapa, saya memahami kesukaran membesarkan anak di era teknologi ini. Namun, kita perlu memikirkan kesan jangka panjang terhadap anak sekiranya mereka dibiarkan menggunakan gajet tanpa had.
Saya sering menyaksikan ibu bapa terlalu membiarkan anak menggunakan gajet, terutamanya ketika waktu makan di restoran, sehingga anak seolah-olah berada dalam dunia sendiri dan komunikasi dengan ibu bapa menjadi sangat minimum.
Pendedahan tanpa batasan boleh menjejaskan perkembangan emosi, sosial, dan akademik anak-anak. Mereka mungkin kurang berinteraksi secara bersemuka, mudah hilang tumpuan dalam pelajaran dan lebih terpengaruh dengan budaya luar yang tidak selari dengan nilai kita.
Mungkin sudah tiba masanya negara kita mempertimbangkan langkah lebih tegas, termasuk menyekat penggunaan telefon bimbit dalam kalangan kanak-kanak, seperti yang telah dilaksanakan di beberapa negara lain baru-baru ini.
Tindakan ini mungkin dilihat drastik, namun ia boleh menjadi salah satu cara untuk melindungi generasi muda daripada kesan negatif teknologi yang tidak terkawal.
Namun, peranan utama terletak pada ibu bapa sendiri untuk membimbing anak melalui komunikasi berterusan, menetapkan had penggunaan dan menjadi contoh terbaik dalam penggunaan teknologi.
Mama & Papa










