Sunday, May 11, 2025
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Selamatkan terumbu karang daripada penyakit misteri

    ORLANDO – Di sebuah makmal di tengah Florida, ahli biologi Aaron Gavin menggunakan alat pipet kecil untuk memberi makan udang kepada lebih 700 batu karang dalam tangki air masin besar, dengan lampu yang menyerupai cahaya matahari menerangi seluruh makmal.

    Kerja-kerja ahli sains di sini mungkin merupakan peluang terakhir untuk menyelamatkan spesies yang membentuk satu-satunya terumbu karang di perairan benua Amerika Syarikat.

    Gavin dan kumpulannya telah mewujudkan semula habitat terumbu karang yang ditemui di perairan di luar selatan negeri, lengkap dengan arus tiruan dan ikan tempatan.

    Mereka berharap dapat menghalang 18 spesies batu karang dalam jagaan mereka daripada dijangkiti penyakit misteri sama, dipanggil SCTLD (penyakit kehilangan tisu batu karang), yang menjejas terumbu liar.

    Di kawasan pokok bakau yang berselerak dan kumpulan ikan yang meluru-luru di batu karang Florida Keys, batu karang yang rosak – biasanya berwarna gelap – kini kelihatan seperti tompok putih yang besar di dasar Lautan Atlantik. Situasi berkenaan adalah sama di sepanjang Kawasan Terumbu Florida, yang terbentang 580 kilometer dari Dry Tortugas, yang merupakan kepulauan barat di Florida Keys, sehingga ke bandar St Lucie, terletak kira-kira 120 batu dari utara Miami.

    Batu karang yang diselamatkan disimpan dalam tangki ketika pekerja berusaha memulihkan terumbu karang Florida di Pusat Menyelamat Batu Karang Florida di Orlando, Florida. – AFP
    Batu karang mati terletak di dasar lautan di Selat Florida berhampiran Key Largo, Florida. – AFP
    Pekerja menjalankan kerja-kerja memulihkan terumbu karang Florida di Pusat Menyelamatkan Batu Karang Florida di Orlando, Florida. – AFP
    Seekor ubur-ubur berenang berhampiran penyelam di atas batu karang mati di dasar lautan di Selat Florida, Key Largo, Florida. – AFP

    “Ia sungguh menyedihkan, dan saya fikir perkara paling membimbangkan mengenai situasi ini adalah kebanyakan orang tidak tahu ia sedang berlaku,” kata Michelle Ashton, pengarah komunikasi Yayasan Ikan dan Hidupan Liar Florida. Apa yang ditemui oleh Gavin dan rakan sekerjanya di Pusat Menyelamat Batu Karang Florida mungkin mengubah masa depan ekosistem laut negeri itu. “Kami sedang menjaga batu karang supaya ia berada dalam keadaan sihat dan selamat,” jelas Justin Zimmerman, pengarah makmal berpusat di Orlando, yang dibuka pada 2020 dan diuruskan oleh syarikat taman tema akuatik Seaworld.

    “Jika ia masih berada di habitat asli, sehingga 90 peratus di antaranya mungkin telah mati,” kata Zimmerman. Penyakit SCTLD pertama dikesan pada 2014, berhampiran Miami, dan telah merebak dengan pesat, membunuh kira-kira separuh daripada spesies terumbu karang berbatu-batu, asas biodiversiti laut. Penyakit itu, dengan puncanya masih tidak diketahui, kini menjejas haiwan di kawasan Caribbean sehingga di Mexico dan Belize.

    Kerja-kerja menyelamat di makmal adalah sebahagian daripada projek yang ditubuhkan pada 2018 oleh Persatuan Lautan dan Atmosfera Nasional dan Suruhanjaya Pemuliharaan Ikan dan Hidupan Liar Florida, dan termasuk puluhan pertubuhan awam dan swasta.

    Kumpulan itu, berdepan dengan risiko kepupusan lebih 20 daripada 45 spesies batu karang keras di kawasan itu, telah merangka pelan khas untuk mengeluarkan batu karang sihat dari perairan rantau dan menjaga mereka dalam akuarium tiruan dalam harapan batu karang berkenaan boleh kembali kepada habitat asli mereka pada masa depan.

    “Awda sedang melihat pada masa depan Kawasan Terumbu Florida dalam bilik ini,” kata Aston mengenai batu karang dalam akuarium Orlando. “Dan hasilnya akan dikembalikan semula di perairan kelak.” Bahagian pertama pelan menyelamat telah membenarkan pihak berkuasa hidupan liar menyelamatkan hampr 2,000 koloni batu karang, kini disimpan di lebih 20 institusi di 14 negeri berlainan.

    Bahagian kedua pelan mewajibkan para penyelidik mengembalikan batu karang ke lautan – walaupun operasi sedemikian tidak mungkin berlaku dalam waktu terdekat dari sekarang, kerana batu karang membiak dengan amat perlahan.

    Ahli sains sedang mengkaji genetik haiwan yang diselamatkan dalam usaha untuk membiak spesimen baharu yang mungkin lebih berdaya tahan terhadap penyakit, serta ancaman lain seperti pemanasan suhu air dan pencemaran.

    Kejayaan atau kegagalan usaha berkenaan mungkin memberikan kesan besar kepada rantau.

    Batu karang, terdiri daripada rangka batu kapur, adalah apa yang membentuk terumbu karang, yang menyediakan tempat tinggal kepada satu perempat daripada hidupan laut.

    Selain itu, struktur merupakan sekatan semula jadi di antara lautan terbuka dan daratan, sekali gus mengurangkan kekuatan ombak yang menampar garis pinggir, terutamanya semasa hurikan dan ribut lain.

    Dan kesan kepada keadaan batu karang mungkin bermakna kesan kepada pendapatan pelancongan Florida, memandangkan satu kajian menganggarkan pelawat yang tertarik kepada sektor perikanan dan menyelam di sepanjang terumbu menjana keuntungan berjumlah AS$8.5 juta.

    Penduduk Key Largo, Steve Campbell, 59, berasa bimbang mengenai apa yang bakal berlaku. Dia duduk bersebelahan dengan bot pelancong kecil yang dikemudinya, buat masa sekarang berlabuh di pelabuhan.

    Dia berkata penyakit batu karang telah pun memberikan kesan ke atas perniagaannya.

    “Saya telah menetap di Florida Keys selama 20 tahun, dan saya berada di luar perairan setiap hari,” katanya.

    “Jelasnya kami sedang mencari rezeki di sini, maka kami membawa orang keluar ke terumbu karang untuk menghayati keindahan terumbu berkenaan. Maka bagi kami ia amat penting.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda