Selami kehalusan seni khat Islam

Oleh Yusrin Junaidi

Seni kaligrafi Islam atau lebih dikenali sebagai seni khat merupakan khazanah tertua masih dimiliki oleh umat Islam dan berkembang ke pelosok dunia selari dengan perkembangan tamadun.

Bagi asal usulnya, terdapat banyak versi antaranya ilmuwan Islam, Ibn Khaldun mengatakan ia berasal dari Yaman, ada yang mengatakan dari Hijaz namun yang banyak dipersetujui ialah asalnya dari Nabati yang sampai ke Hijza melalui Batra ke Ula, ke Madinah dan Mekah dan jalan kedua, melalui Harran ke lembah Furat, ke Daumatul Jandal, Madinah, Mekah seterusnya Taif.

Seni kaligrafi Islam mempunyai nilai tinggi dan semakin jarang dipraktikkan, namun di Negara Brunei Darussalam, pemilik perusahaan kecil dan sederhana, Zayn Kaligrafi, Awang Muhammad Hamizan bin Mudim Haji Amran menyedari nilainya dan berusaha mempromosikannya dengan cara tersendiri.

Penulis berkesempatan menemui Awang Muhammad Hamizan dan menyelami minatnya dalam kaligrafi Islam.

Menurutnya, beliau mahu menunjukkan kepada masyarakat Islam di sini kepentingan dan keindahan seni khat Islam yang berharga.

Awang Muhammad Hamizan tekun meneliti hasil khat yang telah dilakarkan di studio miliknya.

Melalui platform media sosial, produk khatnya dipromosikan kepada orang ramai.
Antara rantai kunci dengan nama dalam tulisah khat yang dihasilkannya dan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Beliau menceburi bidang lakaran kaligrafi Islam ini selepas mempelajarinya dan memutuskan untuk menjadikan ia satu perniagaan.

“Jika tiada ilmu khat, kaligrafi Islam akan menjadi sukar jika dilihat dengan mata kasar apa tah lagi membuatnya, namun disebabkan minat mendalam untuk mempelajarinya, menjadikan saya rajin bertanya, berlatih dan bersemangat untuk mendalami dan menghalusinya.

“Seni khat memerlukan kita mempunyai minat yang mendalam, rajin, fokus dan bersikap sabar kerana ini semua penting bagi menghasilkan seni khat berdisiplin, mudah dibaca dan tidak terpesong daripada sifat-sifat hurufnya,” jelasnya, yang masih lagi menuntut di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan namun kerana minat, sempat meluangkan masa dalam perniagaan kecilnya itu.

Menurutnya lagi, kaligrafi khat pertama dihasilkannya adalah khat Nasakh dan ia sekali gus meniupkan semangat jitu dalam dirinya untuk menjadikannya sebagai cabang kerjayanya.

Bermula dari sana, beliau mula bergiat serius dalam seni khat kerana ia mempunyai peluang yang besar untuk dikembangkan.

Manakala untuk mendapat inspirasi, keindahan tulisan hebat daripada tokoh-tokoh seni khat banyak memberi inspirasi untuknya lebih serius dalam seni kaligrafi Islam itu, ditambah dengan latar belakang pendidikan seni yang sudah dimiliki.

“Saya sering kagum dengan kehalusan dan tulisan penulis-penulis khat yang hebat di luar sana dan ingin untuk mencapai tahap seperti mereka,” katanya penuh harapan.

Beliau yang aktif mempromosikan hasil khatnya di platform media sosial, memberikan keutamaan kepada produk-produk seperti rantai kunci, perhiasan mini, label nama dan sebagainya, sama ada untuk nama-nama orang yang menempah atau ayat suci Al-Quran.

Beliau yang mendapat dorongan daripada keluarga dan sahabat handai, bertambah bersemangat selepas banyak mendapat respons positif daripada para pelanggan, meniup keyakinannya untuk terus menghasilkan seni khat yang lebih menarik.

Antara jenis tulisan khat yang dihasilkannya ialah khat Nasakh, Thuluth dan DIwani Jali, mengakui peralatan khat sukar didapati di negara ini dan perlu menempahnya dari negara jiran, Malaysia dan Indonesia.

Selain sukar mendapat peralatan khat di sini, beliau turut berhadapan cabaran seperti pengurusan masa antara belajar dan membuat tempahan yang perlu diaturnya dengan lebih sistematik lagi, ada kalanya kekeringan idea dan kreativiti spontan yang perlu diatasinya dengan merujuk hasil pakar dan orang lain untuk mendapatkan ilham.

Namun dengan pegangan berjarih dan berkarih, beliau terus mengasah kemahirannya melalui YouTube, buku, guru dan lain-lain.

“Sambutan setakat ini menggalakkan kerana ramai yang ingin menghiasi rumah mereka dengan tulisan khat agar ia tampak lebih eksklusif, manakala yang lain menjadikannya sebagai hadiah kepada orang tersayang. Pelanggan juga tidak terhad dengan pilihan yang saya kemukakan, malahan mereka sendiri boleh membawa contoh dan memberi idea apa yang diinginkan,” tambahnya.

Ketika mengakhiri temu bual, beliau melahirkan harapan dapat membawa seni khat ini lebih jauh lagi melalui gabungan teknologi agar karyanya lebih baik, kemas dan menarik.