Oleh Nurdiyanah R. –
Negara Brunei Darussalam sememangnya kaya dengan warisan budaya dan sastera lisannya. Keindahan warisan itu dapat dirasai apabila kita menyelami pantun, syair, gurindam, seloka selain nyanyian rakyat khususnya lagu-lagu tradisi kanak-kanak Brunei yang begitu popular suatu ketika dahulu.
Secara umumnya, koleksi lagu kanak-kanak Brunei membawa mesej-mesej positif dalam diri kanak-kanak dan diserikan dengan nilai-nilai Islam seperti taat kepada Allah SWT, hormat kepada ibu bapa dan orang yang lebih tua, menyemai rasa kasih sayang, nasihat, pendidikan, nilai-nilai murni serta mencintai keindahan alam.
Selain itu, antara fungsi dan peranan lagu kanak-kanak Brunei adalah bagi mendodoikan anak, hiburan, membangkitkan semangat semasa melakukan pekerjaan di samping mendidik dan nasihat.
Sehubungan itu, salah satu usaha untuk mempertahankan dan memperkasakan koleksi lagu tradisi kanak-kanak Brunei di tanah air, sekali gus membarigakan kepada para pembaca Media Permata, apa kata kita meluangkan masa sejenak memahami serba sedikit antara inti pati yang terkandung dalam lagu kanak-kanak tradisi dan glosari Melayu Brunei kita berdasarkan pembacaan penulis dalam sebuah karya buku tempatan berjudul Koleksi Irama dan Lagu O Kanak-kanak hasil terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
PIMPING UNGGAT-UNGGAT DAN KULIMPAPAT
Salah satu lagu kanak-kanak tradisi Brunei kita yang diketengahkan ialah Pimping Unggat-unggat di mana menerusi ayat ‘pimping kena pukat matanya memulasit …’ yang dimuatkan dalam rangkap lagu berkenaan. Pimping adalah seekor burung manakala memulasit bermaksud biji mata yang terbeliak. Dalam erti kata lain, ia bermaksud seekor burung yang terkena jerat pukat sehingga matanya tersembul.

Sementara, salah satu rangkap lirik ‘serangga kulimpapat, mengerdip waktu malam, jangan berbuat jahat, itu bukan suruhan …’ dalam lagu Kulimpapat. Kulimpapat ialah seekor serangga yang bersayap dan tubuhnya boleh mengeluarkan cahaya yang berkedip pada waktu malam dan ia juga dikenali dengan nama kelip-kelip atau kunang-kunang.
BERKISAR FOKLOR SUKA DUKA
Dalam pada itu, terdapat juga salah satu lagu kanak-kanak tradisi yang merujuk kepada ilmu yang mengajarkan teknik atau kaedah menangkap sejenis ikan yang disebut ikan badung iaitu Isap-isal Buntal.
Menerusi ungkapan liriknya ‘aing sudah surut, tanah pun mula tuhur, pembadung pun turun, mencari sawang badung’ dan ‘ambil sigup kasar, direndam dalam aing, tumpahkan ke lubang, badung pun tidak tahan’ serta ‘menjengul keluar, mencari akal ikhtiar, pembadung yang pintar, pantas tarik keluar’, di mana lirik-lirik berkenaan lebih menceritakan situasi seseorang yang sedang menangkap ikan badung ketika keadaan air yang tuhur.
Kemudian racun yang diperbuat daripada sigup kasar yang telah direndam dalam air akan dituangkan ke lubang tempat ikan badung berada menjadikannya tidak berdaya sehingga akhirnya berjaya ditarik oleh si penangkap ikan.
Di samping itu, terdapat juga lagu tradisi kanak-kanak yang berkisar foklor penuh teladan serta juga mencuit hati. Salah satunya ialah lagu Anak Durhaka yang mengisahkan seorang anak derhaka yang hanyut dalam kemewahan dirinya sehingga tidak mahu mengaku ibu kandungnya yang sudah menjadi papa kedana. Begitu juga dalam lagu Malang Pak Saloi lebih menggambarkan seseorang bernama Pak Saloi yang mempunyai perwatakan lurus bendul sehingga mencuit hati orang yang melihatnya.
NUANSA KEHIDUPAN MASYARAKAT DAHULU
Selain itu, salah satu lagu kanak-kanak tradisi yang membayangkan kehidupan masyarakat dahulu ialah Padian. Lagu berkenaan menggambarkan suasana kehidupan padian di Kampong Ayer di mana pada zaman dahulu, padian merupakan salah satu pekerjaan utama bagi golongan masyarakat yang menetap di kawasan tersebut.
Mereka kebiasaannya menggunakan sejenis perahu yang dikenali sebagai kubang atau bidar dan memakai topi lebar disebut seraung bagi melindungi daripada hujan dan panas terik matahari. Apabila orang kampung melambai-lambai di hadapan kediaman mereka maka golongan padian akan datang dan menawarkan barangan jualan mereka yang kebiasaannya terdiri daripada keperluan asasi seperti ambulung, belacan, kupang dan sebagainya.
Selain itu, buku berkenaan juga memuatkan lagu O Kanak-Kanak, Ding Guriding, O Pelanduk, O Ikan, Kanawai dari Ulu, Hujan Lebat Bangkit Padi, Manja-manja Piabung, Pisang Masak Atas Bubungan, Bit-bit Ucing, Kikik Sarbang Merah dan sebagainya.
BERSAMA MENDUKUNG WARISAN BANGSA MELAYU
Oleh yang demikian, selain berperanan sebagai hiburan, nyanyian tradisi kanak-kanak juga dapat membina insaniah, membentuk sahsiah dan membantu dalam perkembangan kanak-kanak.
Hal ini amat bertepatan dengan konsep membina modal insan yang berpaksikan falsafah negara, Melayu Islam Brunei (MIB), untuk melahirkan generasi sebagai aset yang berguna, berkualiti dalam menyumbang kepada perkembangan, kemajuan serta pembangunan negara.
Penulis berharap dengan adanya pendedahan sedemikian ia dapat mendukung elemen kebudayaan dan warisan bangsa Melayu selain meningkatkan pengetahuan, pemahaman dan minat masyarakat khususnya generasi baharu terhadap lagu dan konsep lagu kanak-kanak tradisi Brunei dari semasa ke semasa.