Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Selami sejarah melalui permainan menyeronokkan

    Oleh AK Zaki Kasharan

    Gabungan kreativiti dan minat mendalamnya terhadap sejarah tanah air, membuatkan belia ini mencuba sesuatu yang jarang dibuat pada zaman kecanggihan teknologi ini, ketika lapisan masyarakat daripada kanak-kanak, remaja, belia orang dewasa malahan sebahagian warga emas lebih tertarik bermain permainan maya.

    Namun ciptaan berani Awang Zaed Hani ternyata menampilkan kelainan, berinspirasi sejarah tanah air tercinta, Negara Brunei Darussalam khususnya sejarah lombong arang batu yang suatu ketika dahulu pernah bertapak di Daerah Brunei dan Muara.

    Tarik minat kepada sejarah negara

    Sejarah bandar perlombongan itu dilahirkannya dalam bentuk permainan kad diberi nama Letters to Brooketon sebagai salah satu usaha menarik minat dan mendedahkan sejarah tanah air kepada generasi muda negara ini.

    Brooketon diadaptasi daripada nama lama bandar Muara dinamakan Charles Brooke dalam tahun 1889 ketika Rajah Sarawak itu mengambil alih bandar Muara itu, di mana pentadbirannya menubuhkan pejabat pos pertama.

    “Ia merupakan cebisan sejarah negara yang saya tidak ketahui sebelumnya,” kata Awang Zaed, menambah bahawa bandar lombong arang batu lama itu suatu ketika dahulu bukan sahaja menjana pendapatan lumayan bagi tujuan domestik, malah dieksport ke luar negara.

    Awang Zaed bersama rakan-rakan bermain Letters to Brooketon semasa melancarkan permainan kad itu di Games & Lattes baru-baru ini.
    Awang Zaed bersama Letters to Brooketon yang diciptanya dalam masa sebulan.
    Permainan kad menyeronokkan yang menampilkan secebis sejarah negara di Daerah Brunei dan Muara.

    Daripada sejarah itu dan himpunan maklumat lain, beliau mula mencipta permainan kadnya namun hanya menggunakan sejarah bandar itu sebagai asas atau gambaran sahaja dalam permainan tersebut.

    Ringkas tetapi menyeronokkan

    Awang Zaed ketika ditemui penulis, mengatakan Letters to Brooketon berbeza dengan permainan kad lainnya yang sering memakan masa pemainnya. Letters to Brooketon agak ringkas dan tidak memerlukan masa yang panjang.

    Permainan berkisarkan pelombong dan tikus mondok itu menggunakan sebanyak 104 keping kad dan boleh dimainkan antara tiga hingga enam orang yang menggunakan sistem mata (points) dengan pemain perlu merangka strategi bagi meraih lima mata terawal untuk dinobatkan sebagai pemenang.

    Menceritakan permulaan mencipta permainan itu, Awang Zaed mengatakan, “Ketika negara di puncak pandemik, saya bekerja dari rumah dan ketika bosan, saya mula mencari sesuatu untuk dimainkan bagi memastikan interaksi bersama rakan dan memberi peluang kepada orang lain menjalinkan hubu-ngan sambil berseronok.

    “Dari situlah saya mencipta permainan ini dan mengambil masa sebulan untuk menghasilkan dan mereka karya seninya,” ujarnya.

    Bangkit daripada kegagalan

    Pengasas dan pemilik perusahaan permainan di bawah nama Comet Games ini pernah menghasilkan permainan papan diberi nama Kawal, namun ia kurang berjaya disebabkan ukuran, berat dan kos penghasilannya yang tinggi.

    Namun kegagalan itu tidak mematahkan semangatnya menghasilkan Letters To Brooketon yang mudah dibawa ke mana-mana.

    Beliau melancarkan permainan itu di premis Games & Lattes di Kiulap pada Ogos lalu dan menerima respons positif dan menggalakkan daripada orang ramai.

    “Ia pertama kali saya menghasilkan permainan seumpamanya dalam skala besar,” katanya dengan rasa bangga.

    Menurutnya lagi, setakat ini beliau berjaya menghasilkan 150 set Letters of Booketon dan habis dijual.

    Beliau kini dalam proses menghasilkan lebih banyak set permainan kad tersebut bagi memenuhi permintaan para penggemarnya.

    Awang Zaed juga percaya industri kreatif tempatan semakin berkembang dan berharap lebih ramai yang terbabit dalam perusahaan kreatif seumpamanya.

    Beliau turut menaruh harapan untuk melebarkan lagi pemasaran produk permainannya itu ke luar negara, terutama negara jiran dan serantau dalam usahanya memperkenalkan negara dan sejarah Brunei kepada dunia.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda