Monday, December 2, 2024
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Selami variasi menu hujung minggu

    MALAYISA – Hujung minggu merupakan masa untuk orang ramai memulihkan diri dengan mengambil cuti untuk aktiviti santai atau menghabiskan masa bersama orang tersayang.

    Bagi mereka yang ingin menikmati waktu yang menyeronokkan di tepi kolam renang, berkemungkinan promosi bufet yang memenuhi keperluan keluarga menjadi pilihan awda.

    Promosi yang ditawarkan di salah sebuah hotel di Malaysia adalah tempat yang sesuai untuk menikmati hidangan bufet dan pelbagai kemudahan pada hujung minggu.

    Untuk pilihan makanan laut yang segar, terdapat tiram, udang, dan kerang sebagai hidangan permulaan manakala kaunter susyi dihiasi dengan susunan yang menarik dengan hidangan pelbagai jenis susyi nigiri, makimono, sashimi, jeruk dan wasabi.

    Bufet tersebut, yang menampilkan hidangan dari pelbagai negara, merangkumi kambing panggang Timur Tengah dengan nasi, juga dikenali sebagai kambing ouzi yang menjadi tumpuan.

    Dua cef daripada restoran di salah sebuah hotel di Malaysia menyediakan hidangan kambing ouzi untuk bufet tersebut. – ANN/TheStar
    Ayam tikka daripada masakan India. – ANN/TheStar
    Churrasco yang enak dan mengenyangkan dengan rasa daging panggang ala Amerika Selatan. – ANN/TheStar
    Gambar Places Malaysia
    Gambar Places Malaysia

    Kambing itu sangat lembut sehingga seolah cair dalam mulut.

    Nasi yang berperisa, sebaliknya, sedap apabila digandingkan dengan sos cili hijau masam pedas yang dihidangkan bersama.

    Hidangan lain yang sesuai digandingkan dengan kambing ouzi ialah salad fattoush, salad labu dengan quinoa, salad asparagus rebus dengan cendawan dan sos bawang merah, kale hummus dengan roti Arab dan babaganoush.

    Sementara itu, churrasco pula merupakan daging panggang gaya Amerika Selatan yang dimasak dalam kepingan kiub di atas api arang di mana ia memberikan kesan rasa daripada aroma berasap.

    Memasak dengan cara itu juga membantu mengubah warna daging menjadi warna coklat sekali gus menjadikannya berair dan lembut.

    Pelbagai sos seperti sos HP, sawi dan lobak pedas boleh didapati sebagai sos pencecah untuk dicelup bersama daging.

    Ada berita baik untuk mereka yang suka stik barbeku dan sosej kerana ia juga merupakan sebahagian daripada hidangan tersebut.

    Sentuhan perisa Mexico dalam bentuk salmon dan telur quesadilla dan ayam serta telur taco menambahkan lagi variasi sajian.

    Quesadilla menyajikan tekstur yang pelbagai dengan lada benggala merah dan kuning, telur hancur serta bawang rangup.

    Hirisan salmon menyerlahkan citarasa kaya dengan mentega yang merupakan kegemaran orang Mexico ini. Taco juga disediakan bagi yang menginginkan sesuatu yang lebih rangup.

    Sementara itu, ayam dihiris tango yang mempunyai perisa aromatik daripada ketumbar dan bawang, serta diseimbangkan dengan krim masam turut disediakan.

    Pencinta makanan Itali juga boleh menikmati gnocchi alla sorrentina, spagetti ayam cendawan dan bawang putih, fettucine carbonara dan penne arrabiata serta piza seperti margherita dan tropikal Hawaiian.

    Manakala paella yang mewakili hidangan Sepanyol penuh dengan makanan laut segar pula memberikan rasa yang cukup nikmat apabila digandingkan dengan nasi.

    Nasi lemak pandan kegemaran orang tempatan di Malaysia disajikan dengan iringan sambal bawang, sambal ikan bilis, ayam goreng berempah, kacang tanah, telur rebus dan hirisan timun.

    Tidak lupa juga untuk menikmati rasa pedas dan manis sate ayam dan daging lembu dengan kuah kacang.

    Bagi makanan India pula, awda boleh mencuba rava thosai, naan, bhurji telur, beriani, malai kofta dan tikka ayam.

    Di samping itu, terdapat juga bahagian khusus untuk kanak-kanak memenuhi keinginan mereka terhadap hidangan nuget, sosej dan donat.

    Ditambah lagi dengan persekitaran kawasan kanak-kanak yang berwarna-warni mempunyai meja dan kerusi yang lebih rendah boleh membuatkan mereka berasa selesa.

    Cef Afiq Matkhir yang merupakan salah seorang cef di restoran tersebut berkata konsep bufet itu adalah untuk menyajikan pelbagai perisa dari seluruh dunia di satu tempat.

    “Hidangan ini dikumpulkan dalam zon berbeza mengikut negara asal mereka.

    “Sudut makanan India disediakan oleh cef India yang pakar dalam masakan India utara,” tambahnya.

    Selain bufet, ahli keluarga juga boleh menikmati petang mereka dengan menerokai pelbagai kemudahan yang disediakan, termasuk kolam renang dan Kelab Wonderland Explorers Kids.

    Manakala Wong Yun Yi selaku rakan sekutu pengurusan hotel itu berkata kemudahan tersebut bertujuan memberi ruang kepada keluarga untuk meluangkan masa dan berseronok.

    “Di Kelab Wonderland Explorers, ibu bapa juga boleh meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak mereka dalam pelbagai aktiviti seperti mewarna, membuat sabun dan memasak.

    “Selain aktiviti harian yang dijalankan secara bergilir-gilir, kami juga mengadakan aktiviti bermusim untuk pelbagai majlis.

    “Sebagai contoh, kami mengadakan acara membuat roti halia semasa Hari Natal.

    “Harganya adalah berbeza-beza bergantung pada jenis aktiviti,” kata Wong.

    “Terdapat juga kawasan khusus untuk ibu bapa berehat kerana anak-anak mereka dijaga oleh kakitangan,” tambahnya. – ANN/TheStar

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda