Selangor catat jumlah mangsa banjir tertinggi

PUTRAJAYA, 19 JULAI – Sejumlah 292 mangsa banjir daripada 73 keluarga kini berada di enam pusat pemindahan di tiga negeri setakat 4 petang ini, demikian menurut laporan terkini situasi banjir yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Menurut laporan itu, Selangor membuka empat pusat pemindahan bagi menempatkan mangsa banjir hari ini manakala Melaka dan Perak masing-masing membuka satu pusat pemindahan.

“Keempat-empat pusat pemindahan banjir di Selangor ialah di daerah Sepang dengan jumlah keseluruhan 219 mangsa banjir daripada  55 keluarga ditempatkan,” katanya.

Laporan itu menyebut empat pusat pemindahan banjir di Sepang ialah Dewan Orang Ramai Jenderam Hilir, Dewan Orang Ramai Dengkil, Dewan Orang Ramai Taman Gemilang dan Sekolah Rendah Agama Dengkil.

Pusat pemindahan banjir di Melaka pula ialah di Sekolah Ke-bangsaan Parit Penghulu, Jasin yang dibuka pada 14 Julai dan kini menempatkan 29 orang daripada tujuh keluarga manakala di Perak, pusat pemindahan banjir ialah Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan yang dibuka sejak 17 Julai dan kini menempatkan 44 orang daripada 11 keluarga. – Bernama

Seorang penduduk di Taman Kristal, Dengkil berjalan keluar dari kawasan rumahnya yang dinaiki air, kelmarin. – Bernama