KUALA LUMPUR, 19 APRIL – Selangor merakam kemenangan Liga Super keempat berturut-turut sambil menghadiahkan kekalahan terbesar buat Terengganu selepas berpesta gol meraih kemenangan 5-1 pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kelmarin.
Terengganu bermula baik seawal 10 minit pertama dengan penyerang import, Jordan Mintah hampir meletakkan pasukan pelawat bimbingan Tomislav Steinbruckner di hadapan, namun sepakan percumanya pada minit ke-11 tepat ke palang gol.
Pertahanan kurang kemas skuad Penyu mengundang padah apabila Selangor berjaya meledak dua gol dalam tempoh kurang daripada lima minit masing-masing menerusi penyerang, Ayron Del Valle, pada minit ke-17 dan bekas pemain sayap Terengganu, Mohamad Faisal Abdul Halim pada minit ke-21.
Skuad Gergasi Merah terus melebarkan penguasaan, kali ini giliran pemain pertahanan muda, Harith Haiqal Adam Afkar mencetak nama sebagai penjaring selepas beliau yang tidak dikawal bijak menyambar bola sepakan penjuru rakan sepasukan pada minit ke-40.
Ketinggalan 0-3, Terengganu berjaya mengurangkan defisit gol pada minit ke-61 menerusi tandukan penyerang gantian Ivan Mamut, namun Ayron terus menghukum kepincangan barisan pertahanan lawan apabila mudah melepasi perangkap ofsaid untuk menjaringkan gol keempat Selangor pada minit ke-70.
Pemain tengah gantian, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau memastikan kejayaan manis skuad kendalian Tan Cheng Hoe dengan gol kelima pada minit ke-84 selepas melepaskan rembatan leret yang deras dari jarak dekat. – Bernama