KUALA LUMPUR, 29 Jun – Perlu ada penyelarasan program pembangunan perumahan di bawah satu pengurusan efektif untuk membantu meningkatkan pemilikan rumah, terutamanya bagi segmen B40, kata portal hartanah dalam talian, PropertyGuru Malaysia.
Pengurus Negaranya, Sheldon Fernandez, berkata pengurusan itu boleh membantu menguruskan program perumahan mampu milik dan isu-isu berkaitan dengannya di bawah satu bumbung, kerana rumah mampu milik telah menjadi isu yang berlarutan sejak sekian lama di negara ini. Kumpulan B40 merujuk kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah dengan pendapatan bulanan antara RM3,900 dan RM8,300. Fernandez berkata ketika ini, terdapat banyak program perumahan mampu milik yang dikendalikan sama ada kerajaan negeri ataupun kerajaan persekutuan, termasuk Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Skim Perumahan Wilayah Persekutuan.
“PropertyGuru menyambut baik skim perumahan mampu milik kerajaan dan menyokong usaha padu untuk menyediakan rumah bagi segmen berpendapatan sederhana. “Bagaimanapun, pada masa hadapan, adalah baik untuk melihat kerjasama antara program yang berbeza oleh kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dan agensi berbeza bagi manfaat rakyat Malaysia,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.
Beliau juga berkata terdapat cabaran utama bagi rakyat Malaysia untuk memiliki hartanah, iaitu paras pendapatan, dan dalam masa yang sama harga hartanah terus meningkat. – Bernama