Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JULAI – Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Perusahaan Kebangsaan Brunei Darussalam (NCCIBD), Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC), Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) Brunei dan Majlis Peniagaan BIMP-EAGA (BEBC) Brunei telah menganjurkan sesi pertama Siri Meja Bulat PMKS bertema Unlocking Growth in Brunei’s Food Industry di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong pada 10 Julai lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BEDB, di sini, sesi berkenaan diketuai oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi) dan Timbalan Pengerusi Bersama LKEB, Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid.
Sesi meja bulat berkenaan menghimpunkan penggubal-penggubal dasar utama, pihak berkepentingan industri dan pemimpin-pemimpin perniagaan untuk bertukar-tukar pandangan, mengenal pasti cabaran-cabaran sektoral dan menyelaraskan usaha dalam memacu pertumbuhan dalam industri makanan Brunei khususnya menerusi pengembangan eksport Halal dan pembangunan PMKS.
Dato Seri Paduka Haji Khairuddin dalam ucaptama menyeru kerjasama yang lebih erat antara sektor swasta dan awam untuk memacu sektor makanan yang merupakan satu daripada lima kluster keutamaan bagi kepelbagaian Brunei.
“Nilai meja bulat ini bukan hanya bertumpu pada perbincangan, tetapi juga tindakan konkrit yang menyusul.

“Ia merupakan platform strategik yang memberikan pencerahan dalam merangka hala tuju kita untuk membangunkan bersama penyelesaian yang seimbang, praktikal selain memacu inovasi yang memberi manfaat kepada semua orang dan mengukuhkan ekonomi kita,” tambahnya.
Para peserta merakamkan penghargaan bagi sesi meja bulat berkenaan yang berfungsi sebagai platform yang membina untuk dialog terbuka dan telus serta mengalu-alukan penganjuran secara tetap untuk memupuk penglibatan berterusan antara sektor awam dan swasta.
Perniagaan berkongsi maklum balas mengenai bidang utama untuk sokongan, termasuk menyelaraskan prosedur berkaitan perniagaan dengan agensi kerajaan, berkongsi kemudahan pengeluaran untuk mengoptimumkan kos serta perolehan bersama dan logistik untuk meningkatkan skala ekonomi.
Presiden NCCIBD dan Ahli ASEAN-BAC, Haji Abdul Saman bin Haji Ahmad berkata dialog itu telah pun mula membentuk bidang bagi kerjasama berpotensi.
Berdasarkan latar belakangnya dalam perkapalan, Haji Saman mengakui cabaran PKS dalam mengeksport, menekankan peluang untuk penglibatan langsung dengan syarikat perkapalan serta penggabungan eksport berbanding penghantaran kontena tunggal.
“Peserta bersikap ikhlas dan telus dalam cabaran yang dihadapi mereka dan kami mula melihat peluang yang wujud untuk menyatukan penghantaran atau eksport oleh PKS untuk membantu memperbaiki kos,” katanya.
Sementara itu, Rizqussalam, sebuah perniagaan tempatan yang bermula pada 2016 menghasilkan sambal tahai, berkongsi perjalanannya berkembang dari dapur rumah kepada pembekalan di pasar raya utama serta eksport ke luar negara dengan kemudahan daripada LKEB.
Syarikat itu bersedia membuka kilang komersial pertamanya dalam beberapa bulan akan datang dan telah mula mengeksport ke Singapura.

