Wednesday, March 19, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    SELC 2025 perkasa literasi bahasa Inggeris seluruh Sarawak

    KUCHING, 18 MAC – Persidangan Literasi Bahasa Inggeris Sarawak (SELC) 2025 yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 19 September depan di Hikmah Exchange Event Centre, akan menumpukan kepada perkongsian amalan terbaik untuk meningkatkan literasi bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

    Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata pada persidangan itu peserta akan terlibat dalam perbincangan, berkongsi amalan terbaik dan meneroka pendekatan inovatif untuk meningkatkan literasi bahasa Inggeris demi manfaat pelajar.

    “Persidangan ini merupakan platform penting untuk meningkatkan literasi dan pendidikan di negeri ini. Matlamat kita adalah untuk memperkenalkan bahasa Inggeris dari peringkat awal, bermula di prasekolah hingga ke peringkat universiti.

    “Ia (persidangan) juga bermatlamat melahirkan tenaga kerja berkemahiran dan cekap, terutama dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan memperkukuh pendidikan literasi melalui inovasi dan kolaborasi,” katanya pada sidang media hari ini.

    Beliau berkata persidangan berkenaan akan menyediakan pendidik dengan strategi praktikal untuk kejayaan di bilik darjah, menggalakkan inisiatif literasi yang dipacu oleh komuniti, dan memastikan pendidikan literasi meliputi seluruh kawasan di Sarawak. 

    Sementara itu, menurut kenyataan media yang diedarkan kepada pemberita, SELC 2025 akan berfungsi sebagai platform untuk merapatkan jurang bahasa dan meningkatkan tahap pendidikan, sekali gus menjadikan Sarawak sebagai hab pengetahuan, inovasi, dan kerjasama global.

    “SELC 2025 akan menampilkan penceramah dan pakar terkemuka dalam pendidikan literasi dan STEM seperti Gilbert Jolly, Sara Wernham dan Sarah Dagnell,” menurut kenyataan itu.

    Dianjurkan oleh Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Layar dengan sokongan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) serta Business Events Sarawak (BESarawak), persidangan berkenaan dijangka menarik kehadiran 1,000 delegasi termasuk pendidik, pelajar, pemimpin korporat dan pegawai kerajaan. – Bernama

    Gerald Rentap Jabu semasa berucap pada Majlis Pelancaran SELC 2025 di Kompleks Kuching Plaza pada 18 Mac. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda