Ketika dunia terus menyaksikan penderitaan rakyat Palestin di Gaza, warganet Malaysia menggesa selebriti terkenal agar menggunakan platform media sosial untuk menyuarakan solidariti serta meningkatkan kesedaran.
Di aplikasi Threads, ramai pengguna tampil meninggalkan komen dan hantaran terbuka meminta artis seperti Neelofa, Diana Danielle, Fasha Sandha, Amelia Henderson, Hun Haqeem dan Nazim Othman agar tidak berdiam diri terhadap konflik yang berlaku di Palestin sehingga mengorbankan ribuan rakyat negara berkenaan.
“Hai, tolonglah bersuara untuk Palestin dengan platform besar awda. Suara awda boleh menggerakkan ribuan orang. Ini tentang kemanusiaan dan hak asasi, bukan sekadar soal agama,” tulis warganet.
Dalam pada itu, warganet turut menekankan ‘repost’ berkenaan isu di Palestin tidak mencukupi sebaliknya mahu figura berpengaruh ini menunjukkan sokongan secara aktif termasuk menyebarkan maklumat tentang inisiatif seperti Flotila Sumud Global.
Tambah mereka lagi, suara selebriti mampu memberi impak besar bukan sahaja dalam kalangan peminat tetapi turut dapat membentuk pandangan masyarakat umum tentang krisis kemanusiaan yang berlaku di luar negara.
“Jangan sekadar kongsi semula, tunjukkan solidariti sebenar dan sebarkan kesedaran tentang flotila sumud global,” ujarnya.
Sebelum ini, penyanyi Zizi Kirana dan pelakon Ardell Aryana antara selebriti yang menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza bersama beberapa aktivis dari Malaysia sebelum berlayar melalui Laut Mediterranean dengan puluhan kapal yang turut disertai oleh 44 negara lain. – Agensi


