Wednesday, March 19, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Selendang bahu: Gaya, trend raya

    KUALA LUMPUR – Pada satu ketika dahulu, berbaju kurung atau berkebaya dengan selendang di bahu adalah gaya eksklusif wanita-wanita kenamaan ketika hadir di majlis-majlis rasmi, namun hari ini, trend itu yang kembali mendapat perhatian, merentasi status sosial.

    Malah, gaya tersebut dijangka menjadi antara pilihan utama baju raya tahun ini, khususnya generasi muda, memandangkan ramai pereka fesyen dan pengeluar pakaian pelbagai jenama mengadaptasi rekaan selendang ke dalam koleksi Aidilfitri mereka sebagai pelengkap busana moden dan tradisional.

    Pereka fesyen, Zachrin Jaafars berpandangan penggunaan selendang pada bahu kini menjadi norma dalam kalangan masyarakat, dipengaruhi oleh perkembangan teknologi tekstil yang menjadikannya lebih praktikal dan selesa dipakai di semua acara, selain boleh dibeli dengan harga lebih berpatutan.

    “Jika kita imbas kembali era 90an dan awal 2000an, pilihan fabrik agak terhad dan tertumpu pada shantung, sutera Thai dan sutera sifon.

    “Dahulu, yang buat selendang ini selalunya pereka fesyen atau tukang jahit untuk mereka yang hendak pergi istana atau untuk orang berada, namun dengan perkembangan teknologi dan kemasukan pelbagai jenis material (fabrik) dari luar negara, fesyen itu kini lebih praktikal dan selesa,” katanya kepada Bernama.

    Baju kurung atau kebaya kembali mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat pada masa ini. – Bernama
    Gambar Bernama

    Berkongsi tentang kepentingan selendang dalam budaya Melayu, Zachrin menjelaskan helaian fabrik itu bukan sekadar aksesori tetapi turut memiliki fungsi tertentu.

    “Asalnya, selendang digunakan sebagai kerudung memandangkan (ketika itu) tidak ramai lagi yang bertudung litup seperti sekarang, di samping perlindungan daripada cuaca malah untuk mengangkut barang. Namun kini ia lebih kepada elemen gaya dan kesopanan dalam berpakaian,” tambahnya.

    Berkongsi tip penggayaan, penata gaya Farah Dinana berkata pemilihan fabrik, warna dan padanan yang sesuai adalah kunci utama dalam memastikan selendang bahu memberi impak yang optimum kepada penampilan.

    “Dari segi material mestilah yang ringan supaya mudah untuk bergerak. Elakkan juga material yang terlalu berkilat dan licin kerana ia akan mengganggu aktiviti yang kita nak lakukan.

    Kain yang tebal juga tidak sesuai kerana menyebabkan si pemakai tidak selesa dan panas, selain mengganggu pergerakan,” katanya.

    Berpengalaman menata gaya untuk pelbagai jenama dan selebriti, Farah menasihatkan agar selendang bahu dipadankan dengan warna tudung atau pakaian serta tidak melebihi tiga warna dalam satu penampilan sekiranya mahu mengenakan gaya warna kontra bagi mengekalkan keseimbangan visual dan mengelakkan penampilan terlalu sarat.

    Katanya pemakaian kerongsang juga mampu menaikkan lagi seri pemakai, selain tampak ‘classy’ dan elegan, manakala aksesori lain seperti tali pinggang boleh dipakai bagi memberi ilusi lebih ramping dan kurus.

    Bagi memastikan selendang bahu kekal rapi sepanjang hari, Farah mencadangkan penggunaan jarum peniti atau pin keselamatan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda