Oleh Faridah Haji Ibrahim
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 April – Kumpulan mukun duo negara, Selendang Sutera memenangi Pertandingan Bermukun Sa Borneo ke-4 tahun ini yang diadakan di Dewan Bola Keranjang, Pekan Bekenu, Sibuti anjuran Miri FM, Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini.
Kumpulan itu yang disertai Awang Irwan Rino bin Nordin dan Awang Wan Zuraimi bin Julaihi memenangi Kategori A Terbuka Lelaki Dewasa, mengalahkan kumpulan dari Limbang dan Mukah, Sarawak. Mereka memenangi wang tunai RM1,000 dan piala iringan.
Manakala bagi Kategori C Remaja 18 tahun ke bawah Terbuka, peserta negara mendapat tempat kedua selepas ditewaskan oleh peserta dari Miri, manakala tempat ketiga dimenangi oleh peserta Bekenu. Hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Menteri Muda Solidariti Sarawak, Rosey binti Haji Yunus. Turut hadir ialah Ahli Parlimen Sibuti, Haji Ahmad Lai bin Bujang.
Pertandingan yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Kategori A Terbuka Lelaki Dewasa, Kategori B Terbuka Wanita Dewasa dan Kategori C Remaja 18 tahun ke bawah Terbuka disertai 33 buah kumpulan dari daerah-daerah di Sarawak, termasuklah Miri, Bekenu, Limbang, Bintulu, Mukah dan juga Wilayah Persekutuan Labuan serta kumpulan jemputan dari Negara Brunei Darussalam.

