Thursday, October 5, 2023
23.2 C
Brunei

    -

    Selepas Taiwan, Haikui kini menuju China

    TAITUNG, TAIWAN, 4 SEPT – Taufan Haikui menumbangkan ratusan pokok, merosakkan jalan pantai dan menurunkan hujan lebat di seluruh Taiwan hari ini, sebelum bertukar menjadi ribut tropika dan menuju ke selatan China.

    Haikui pada awalnya meninggalkan pulau itu namun membuat pendaratan kedua awal hari ini di barat daya Kaohsiung sebelum bergerak ke Selat Taiwan.

    Tiada ada laporan korban jiwa namun lebih 100 orang mengalami kecederaan semasa taufan itu, menurut pihak berkuasa, kebanyakannya disebabkan oleh pokok tumbang dan kemalangan kereta.

    Kemusnahan dilihat di pesisir pantai Taitung, sebuah daerah pergunungan di timur Taiwan yang tidak ramai penduduknya dengan ribut melanda secara langsung sehari sebelumnya.

    “Ini adalah kali pertama saya melihat taufan sebegitu besar dalam hidup saya,” kata Chen Hai-feng, 55, ketua kampung di perbandaran Donghe, Taitung.

    Gambar yang diambil menerusi telefon bimbit pada 4 September menunjukkan jalan di Daerah Longhai, Zhangzhou, wilayah Fujian, tenggara China telah dibanjiri akibat Haikui. – Xinhua

    Walaupun Haikui dianggap kurang teruk berbanding ribut sebelum ini, Chen memberitahu AFP ia terasa lebih kuat ketika dia meninjau kru yang bekerja awal pagi untuk mengalihkan pokok dari jalan.

    “Ia datang seperti tepat-tepat menyasarkan kami,” katanya.

    Pekerja secara berhati-hati menggerakkan penggali untuk memindahkan dahan pokok yang tumbang dan memutuskan kabel kuasa dari jalan.

    Lebih jauh ke utara di perbandaran Changbin, pekerja mengangkut blok konkrit besar ke lebuh raya pantai yang sebahagiannya runtuh kerana ombak kuat, dengan harapan konkrit itu akan menangani impaknya.

    Pengadang berat berwarna jingga diletakkan di tepi untuk mengelakkan kereta terbabas di jalan licin.

    Kirin Chen turut serta membantu kru kerja membersihkan dahan pokok dari laluan menuju ke sebuah sekolah di daerah Taitung.

    “Banyak pokok yang tumbang. Kami cuba mengalihkan pokok di kaki lima supaya anak-anak selamat pergi ke sekolah esok,” katanya.

    Beratus-ratus penerbangan dibatalkan dengan perniagaan serta sekolah ditutup di 14 bandar apabila hujan lebat turun hari ini, manakala lebih 260,000 isi rumah terputus bekalan elektrik buat sementara waktu dan kira-kira 22,000 rumah masih tiada bekalan elektrik menjelang petang ini. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Pakistan arah warga Afghanistan tinggalkan negara

    ISLAMABAD, 4 OKT - Ratusan ribu rakyat Afghanistan yang tinggal secara haram di Pakistan telah diberi masa sehingga 1 November untuk meninggalkan negara itu...