Selepas tujuh bulan mengikuti rutin senaman dan diet yang ketat, akhirnya impian penyanyi Ismail Izzani memiliki tubuh badan idaman tercapai.
Mengakui bukan mudah mendapatkan badan sasa itu, Ismail, 21, berkata dia menerima tunjuk ajar daripada jurulatih kesihatan dan perlu mengikuti senaman di gimnasium secara konsisten.
“Sebenarnya saya mula main gim pada tahun 2017, tapi masa tu on off sebab jadual terlalu padat, tapi baru-baru ini saya minta pengurus kosongkan waktu selama beberapa bulan untuk saya mengikuti senaman di gim.
“Dalam masa tujuh bulan saya pergi gim lima kali seminggu, saya juga makan ayam seekor sehari untuk lunch, semua rutin ini dikawal oleh jurulatih yang menjaga pemakanan saya.
“Sejujurnya senaman di gim tak susah, nak makan banyak tu yang susah, pertama kali makan sebanyak itu memang saya muntah sebab tak tahan… tapi selepas seminggu perut dah boleh terima,” katanya kepada wartawan.
Dalam pada itu, Ismail berpuas hati dengan berat badan yang dicapai dan mengakui lebih berkeyakinan apabila berada di hadapan orang ramai. – Agensi
