Sunday, July 27, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Selepas 7 tahun, SO7 hilangkan rindu peminat

    Setelah kali terakhir membuat persembahan tujuh tahun lalu, kumpulan Sheila On 7 (SO7) kembali hadir menghiburkan peminat di Latihan Pestapora Malaysia 2025 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur, kelmarin. 

    Vokalis SO7 iaitu Duta atau Akhdiyat Duta Modjo, 45, berkata mereka teruja kerana dapat berkunjung ke Kuala Lumpur bagi menghiburkan peminat di Malaysia. 

    Selain mengongsikan, sepanjang kunjungan ke Malaysia, mereka sering menerima sambutan hangat daripada peminat yang sentiasa memberikan sokongan terhadap kerjaya muzik kumpulan berkenaan.

    “Malam minggu ini SNBJ bersama Latihan Pestapora, sudah lama sekali SO7 tidak ke Malaysia, di mana kali terakhir kami membuat persembahan pada 2018, tetapi Alhamdulillah malam ini kami ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan peminat semua”.

    “Malaysia selalu memberikan memori yang baik untuk SO7. Terima kasih kerana hadir dan percaya anda boleh terhibur di Bukit Jalil malam ini,” katanya kepada mStar

    Melalui segmen berdurasi kira-kira 90 minit, SO7 menghiburkan peminat dengan 17 buah lagu termasuk Bila Kau Tak Disampingku, Memori Baik, Dan, Melompat Lebih Tinggi, Sephia dan Hari Bersamanya

    Penonton di Latihan Pestapora Malaysia 2025 sebelum itu dihiburkan dengan persembahan Salam Muzik, Pamungkas, Kunto Aji, Dolla, Bittersweet, Barasuara X Efek Rumah Kaca dan .Feast bermula dari pukul 1.30 petang. 

    Acara menjadi lebih gamat apabila kumpulan Bunkface muncul di pentas utama pada pukul 7.50 malam dengan membawakan persembahan bertenaga menerusi lagu Malam Ini Kita Punya, Panik dan Situasi.

    Penonton terus bersorak menyanyi dan menari bersama vokalis kumpulan Bunkface, Sam ketika membawakan lagu Revolusi, di mana sorakan terus bergema dengan persembahan daripada penyanyi Hindia yang meneruskan lagi kehangatan pada malam konsert. 

    Tampil dengan beberapa lagu popular termasuk Rumah Ke Rumah, Cincin, Evaluasi, Kita Ke Sana dan Kids tidak dinafikan penyanyi Indonesia itu turut berjaya menambat hati peminat di Malaysia.

    Feel Koplo menutup tirai Latihan Pestapora Malaysia 2025 dengan seleksi lagu-lagu remix seperti We Found Love dan Stecu Stecu

    Paling istimewa, kemunculan Ari Lesmana membuat ‘comeback’ di Malaysia selepas hiatus daripada dunia seni menggemparkan stadium. 

    Mendendangkan lagu viral berjudul Mangu, nyanyian Ari menjadi antara persembahan penutup yang memberikan kesan buat penonton pada malam konsert.- Agensi

    Peminat puas hati dengan kunjungan SO7 selepas tujuh tahun menanti. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda