Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Selera Malaysia dibawa ke Auckland, NZ

    Oleh Ahmad Erwan Othman

    AUCKLAND, 30 SEPT – Dahulu kebiasaannya, orang putih tidak tahan makanan pedas, kini rendang dan kari sudah jadi kegemaran mereka; situasi yang dapat disaksikan di Desa Corner, sebuah restoran milik dua anak Malaysia di Central Auckland di New Zealand (NZ). Justeru, tidak menghairankan restoran yang baru mencecah usia dua tahun ini telah mencipta nama tersendiri dan mempunyai pelanggan tetap dalam kalangan penduduk setempat dan juga perantau dari tanah air.

    Mat salih sekarang bukan macam dahulu, mereka datang dan dah tahu nak order (pesan) apa. Roti canai Malaysia memang nombor satu. Makan pula mesti dengan rendang atau kari, memang itu yang mereka cari,” kata  Azli Musa, pemilik bersama Desa Corner kepada Bernama baru-baru ini.

    Julai lalu, penulis dan jurufoto berpeluang singgah di Desa Corner yang terletak di Karangahape Road, sebuah simpang tiga di tengah-tengah daerah perniagaan Central Auckland ini.

    Restoran Desa Corner yang terletak di Auckland, NZ.

    Ditanya tentang keputusan pemiliknya Azli, berhijrah ke NZ, dia sekadar  mengungkapkan “Jodoh, pertemuan dan rezeki itu ketentuan Allah.”

    Bagaimanapun beliau yang kini selesa menetap bersama-sama keluarganya di sini,  tidak keberatan berkongsi perjalanan hidupnya sebelum membuka Desa Corner yang sebelumnya mengharungi pelbagai cabaran.

    “Saya bermula dari bawah. Selepas tiba di sini, saya bekerja dalam industri hospitaliti sebagai pekerja biasa. Selama lapan tahun saya menimba pengalaman dalam bidang itu,” kongsinya. Beliau kemudian melangkah ke bidang pertukangan.

    “Saya lakukan pelbagai kerja termasuk memotong kayu, membuat kabinet, memasang dinding, membina dapur dan membaiki rumah selama hampir sembilan tahun. Sedikit demi sedikit saya kumpul dana kerana saya memang berhajat untuk buka kedai makan,” jelasnya.

    Atas & Bawah: Pemilik bersama Desa Corner, Azli Musa yang berasal dari Simpang Renggam, Johor, kini menetap selesa di Auckland New Zealand.

    Impian beliau tercapai pada 2018 apabila beliau membuka gerai Dapur Johor di Food Court Wellington. Namun takdir menguji apabila COVID-19 melanda, menyebabkan gerai yang semakin mendapat tempat di hati penduduk setempat itu terpaksa ditutup. 

    Bagaimanapun takdir kemudian mempertemukan kembali beliau dengan seorang sahabat senegara yang memiliki restoran sendiri iaitu seorang jurumasak berpengalaman lebih 20 tahun.

    “Kami kenal dah lama cuma terputus hubungan. Jadi, bila berjumpa balik dan dia ajak buka kedai sama-sama, saya fikir inilah peluang kedua. Kami bukan sahaja berkongsi modal, tetapi juga merancang bersama-sama menu yang mahu dihidangkan serta operasi restoran,” kata Azli.

    Hasilnya, pada November 2023 Restoran Desa Corner dibuka secara rasmi. Katanya demi kelancaran perniagaan, beliau bertanggungjawab menguruskan operasi harian termasuk pemasaran, sementara rakan kongsinya yang enggan dikenali, mahu memberi tumpuan kepada bahagian dapur.

    Suasana bahagian dalam restoran Desa Corner.

    Memfokuskan menu pada masakan Melayu Johor, Azli berkata mereka juga menghidangkan masakan popular dari negara-negara ASEAN seperti Thailand dan Indonesia, sementara nasi goreng dan mi goreng mamak antara hidangan paling laris mereka.

     Kini dengan tujuh pekerja dengan sebahagian besarnya penuntut Malaysia yang bekerja secara sambilan, Azli berkata mereka berusaha mengekalkan suasana ‘Malaysia’ di restoran itu yang dapat dilihat sebaik melangkah masuk ke dalam premis.

    Selain disambut dengan ucapan ‘selamat datang’, mata pengunjung akan terhala pada mural kartun yang menggamit nostalgia era 1990-an di Malaysia dan mengubat rindu anak rantau yang telah lama berkelana di bumi kiwi ini. 

    Penulis sempat bertemu dengan seorang pelanggan tetap Desa Corner. Nancy Wrigley, 72, yang berasal dari Kuala Lumpur namun telah menetap di negara ini sejak lebih 35 tahun lalu, berkata dia sukakan suasana di restoran itu selain makanan yang sedap.

    “Suasana di sini mengingatkan saya kepada kampung halaman, dan apabila berada di sini saya rasa macam kembali ke Malaysia,” katanya yang gemarkan hidangan nasi lemak di restoran itu. 

    Atas & Bawah: Antara hidangan yang menjadi pilihan pelanggan, roti canai dan mee goreng mamak.
    – GAMBAR-GAMBAR BERNAMA

    Bercerita tentang mural, Azli berkata lukisan berkenaan merupakan karya sahabatnya Fitri yang mengambil masa dua bulan untuk menyiapkan watak-watak kartun dan animasi seperti Keluang Man, Usop Sontorian, Mat Despatch, Upin & Ipin, Didi & Friends serta kartun karya kartunis tersohor Datuk Lat.

    Selain itu, beliau juga memastikan muzik tradisional dan lagu-lagu artis serumpun ASEAN terutamanya dari Malaysia seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza  sentiasa dimainkan sebagai hiburan latar dan menjadi halwa telinga pelanggan tatkala tunas rasa mereka menikmati keenakan hidangan seperti mi goreng mamak, nasi lemak ataupun sup wantan.  

     Walaupun tiada promosi pemasaran besar-besaran, Desa Corner tetap menerima pelanggan dalam kalangan selebriti serta orang kenamaan Malaysia yang datang ke Auckland khususnya. Malah, ketika penulis tiba di restoran itu kelihatan pelakon dan pengarah terkenal Erma Fatima serta adiknya Umi Aida, pelakon Bell Ngasri dan Nora Danish menjamu selera bersama-sama dengan kru produksi yang datang bagi melakukan penggambaran telemovie di New Zealand.

    Dengan ruang makan yang boleh menampung hingga 100 pelanggan pada satu-satu masa, Azli juga memperkenalkan konsep ‘hidangan kongsi’ yang sesuai untuk jamuan pejabat atau kumpulan besar.

    “Kalau datang ramai, pesan menu set 10 orang. Kita susun makanan di tengah-tengah meja. Semua boleh rasa,” katanya, menambah beliau juga berusaha mengekalkan harga yang berpatutan.

    Beliau mengakhiri temu bual itu dengan pesanan kepada usahawan lain: “Budi bahasa itu penting. Pelanggan akan suka jika layanan kita ikhlas.” – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda