Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Selera rasa ala Jepun-Barat

    HO CHI MINH – Penulis, Hamy Nguyen berputus asa mencari tempat makan tengah hari, akan tetapi seorang rakannya mencadangkan untuk mencuba hidangan di sebuah restoran di Bandar Ho Chi Minh.

    Berjalan ke restoran itu buat kali pertama, Hamy merasa seperti terjumpa sudut selesa kartun Ghibli. Tempat itu mempunyai suasana ajaib dan hangat.

    Dengan perabot kayu yang menawan, pencahayaan lembut dan sentuhan luar biasa, ia kelihatan seperti tempat yang sesuai untuk Totoro singgah bagi menjamu selera.

    Aroma masakan Jepun yang lazat ditambah dengan suasana yang selesa, menyebabkan sukar untuk mengetahui sama ada Hamy lebih terpesona dengan hiasan atau hanya kelaparan. Walau apa pun, dia sudah bersedia untuk menetap dan menikmati hidangan yang terasa seperti pengembaraan ajaib yang lazat.

    Antara yang menarik perhatian Hamy ialah pengenalan menu di mana dua cef dari Korea Selatan menjalankan perniagaan restoran Jepun dengan hidangan berasaskan sentuhan Barat.

    Burger Nikomi. – ANN/Vietnam News
    Mi Buldak. – ANN/Vietnam News
    Mi Maze. – ANN/Vietnam News
    Perabot kayunya yang menawan, pencahayaan lembut dan sentuhan luar biasa. – ANN/Vietnam News
    Tempat duduk luar halaman kecil sesuai untuk kumpulan kecil. – ANN/Vietnam News

    Sebagai peminat kreativiti makanan, ia merupakan pengembaraan yang menarik, jadi Hamy tidak sabar-sabar untuk menikmatinya. Akan tetapi memandangkan menu yang terdapat di restoran itu menawarkan hidangan bersaiz besar yang sesuai untuk dikongsi sedangkan Hamy hanya bersama dua orang rakannya, jadi mereka hanya perlu mencuba tiga hidangan.

    Burger Nikomi adalah hidangan istimewa yang terdapat di restoran itu, jadi Hamy telah memesan satu. Burger di restoran itu adalah seperti burger biasa yang tersedia di dalam periuk makanan yang enak.

    Bayangkan pati burger pekat yang berair yang diletakkan di antara dua keping roti, sambil dilimpahi dengan sos demi-glace yang diperkaya dengan espagnole dan stok daging lembu.

    Ia adalah jenis hidangan yang membuatkan awda tertarik dengan teksturnya yang lembut, berair, bersos dan sangat memuaskan. Hamburger itu dihidangkan bersama nasi, walaupun hakikatnya ia hanya sepatutnya dinikmati begitu sahaja hingga ke titisan terakhir.

    Manakala Mi Maze membuatkan Hamy tertanya-tanya kerana pada pandangan pertama, ia kelihatan seolah-olah seperti daun bawang di atas pinggan. Di bawah hirisan daun bawang, Hamy masih tertanya-tanya apakah bahan dan perisa misteri yang tersembunyi di sebalik hidangan tersebut.

    Setelah mencuba hidangan itu ternyata ia meninggalkan kesan terbesar, dan Hamy kini dalam misi untuk mencadangkannya kepada semua kenalan rapatnya.

    Di sebalik daun bawang itu terdapat sos ragu yang telah mendidih selama berjam-jam, menjadikan daging lembu cincang begitu lembut sehinggakan mampu membangkitkan selera makan, ditambah lagi dengan aroma herba. Bukan sahaja itu, malah terdapat juga sedikit pesto basil dalam adunan melengkapi mi yang baru dibuat.

    Secara keseluruhannya ia adalah pengalaman yang cukup nikmat dengan hidangan lazat tersedia dalam pelbagai rasa terutama sekali apabila hidangan Timur di satukan dengan Barat di atas pinggan.

    Hidangan terakhir yang Hamy cuba ialah Mi Buldak, di mana ia merupakan ciptaan yang menggabungkan ayam goreng dengan pasta bercampur minyak zaitun. Pasta tersebut pada dasarnya adalah spageti Itali dengan minyak dan bawang putih (Aglio e Olio), dihiasi dengan keju Parmesan.

    Walaupun mi dan ayam masing-masing mempunyai kelazatan yang tersendiri, Hamy mendapati gabungan itu tidak begitu berkesan dan ia kelihatan tidak mempunyai keharmonian sempurna seperti yang diharapkannya. Berbanding jika ia dimakan secara berasingan.

    Restoran tersebut adalah lebih daripada sekadar hidangan di mana ia adalah perjalanan yang menyeronokkan ke dunia luar biasa di mana makanan lazat bertemu dengan suasana ajaib. – ANN/Vietnam News

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda