Friday, December 27, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Selesema burung ancam California, kes meningkat babit manusia

    SACRAMENTO, 26 DIS – Usaha California untuk membendung influenza burung A (H5N1) semakin mencabar ekoran penyebaran jangkitan di ladang tenusu serta peningkatan kes dalam kalangan manusia, termasuk dua kes baharu yang disahkan di daerah Stanislaus dan Los Angeles, lapor Xinhua.

    Virus yang biasanya dikenali sebagai selesema burung itu menjangkiti 659 daripada 984 operasi tenusu di California sejak Ogos, dengan satu perempat daripada kes ini dilaporkan bulan lepas, menurut pihak berkuasa negeri.

    Penyebaran pantas dalam industri tenusu negeri itu mendorong Gabenor Gavin Newsom  mengisytiharkan darurat minggu lalu bagi melindungi pekerja sektor pertanian dan kesihatan awam.

    “Proklamasi ini adalah langkah khusus untuk memastikan agensi kerajaan mempunyai sumber dan fleksibiliti yang diperlukan bagi bertindak balas dengan cepat terhadap wabak berkenaan,” kata Newsom dalam satu kenyataan.

    Kesan wabak itu terhadap manusia semakin serius, dengan California mencatatkan kira-kira 36 kes yang disahkan –  lebih separuh daripada jumlah keseluruhan kes negara iaitu 65 kes, menurut laporan terkini oleh Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat Selasa lalu, walaupun bilangan sebenar mungkin lebih tinggi kerana pengesahan tempatan terkini mungkin belum dimasukkan ke dalam data persekutuan.

    Gambar menunjukkan beberapa ekor lembu sedang memakan rumput pada 19 Disember di Petaluma, California. – AFP

    Dua kes baharu disahkan Isnin lalu di Daerah Los Angeles dan Stanislaus. Kedua-dua individu itu terdedah kepada ternakan yang dijangkiti selesema burung di tempat kerja, mengalami simptom ringan dan menerima rawatan antivirus, menurut jabatan kesihatan kedua-dua daerah.

    Pegawai kesihatan awam telah memantau air sisa di seluruh negeri, mengesan virus itu di beberapa lokasi Bay Area, termasuk San Francisco, Napa dan San Jose.

    Bagaimanapun, Pakar Epidemiologi Negeri California, Erica Pan, menjelaskan kepada ABC30 pengesanan itu mungkin sebahagian besarnya berpunca daripada ‘pembuangan susu domestik atau komersial ke dalam sinki.’

    Meskipun risiko kepada orang awam kekal rendah, virus ini membunuh 90 hingga 100 peratus ayam yang dijangkiti dan kira-kira satu hingga dua peratus lembu.

    Pakar Veterinar Negeri California, Annette M. Jones, memaklumkan yang lembu yang dijangkiti mungkin tidak akan pulih sepenuhnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda