Saturday, November 16, 2024
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Selesema burung bunuh hampir 9,000 hidupan laut

    SANTIAGO, 26 MEI – Hampir 9,000 singa laut, penguin, memerang dan mamalia kecil terbunuh akibat penularan selesema burung yang melanda pantai utara Chile, kata Perkhidmatan Perikanan Negara Amerika Selatan (Sernapesca), semalam.

    Sejak awal tahun, lebih 7,600 singa laut, 1,186 penguin Humboldt iaitu spesies terancam yang hanya membiak di Chile dan Peru serta beberapa hidupan seperti memerang dan ikan lumba-lumba ditemui mati di sepanjang pantai, kata Sernapesca dalam kenyataan.

    Menurutnya, penyakit itu dikesan di 12 daripada 16 wilayah Chile ketika ia mengumumkan pengaktifan ‘protokol pengawasan’ di sepanjang pantai, termasuk menanam hidupan yang terjejas dalam usaha mencegah penyebaran virus seterusnya.

    Sejak penghujung 2021, salah satu wabak selesema burung global yang paling teruk dalam rekod menyaksikan puluhan juta ayam terpaksa dihapuskan, selain menyebabkan burung liar mati secara besar-besaran dan peningkatan jumlah jangkitan dalam kalangan mamalia di beberapa negara.

    Di Kemboja, seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun jatuh sakit pada pertengahan Februari akibat demam, batuk dan sakit tekak, sebelum meninggal dunia akibat virus selesema burung H5N1, menurut Kementerian Kesihatan negara itu.

    Dalam pada itu, Mac lalu, Chile merekodkan kes pertama jangkitan manusia yang membabitkan seorang lelaki berusia 53 tahun.

    Di tempat lain di Amerika Selatan, Argentina, Brazil, Paraguay dan Peru, dengan ratusan kematian singa laut, turut melaporkan ada berlaku penularan jangkitan kepada manusia. – AFP

    Burung Magnificent Frigate terbang di pantai Rio de Janeiro pada 23 Mei 2023. Hampir 9,000 singa laut, penguin, memerang dan mamalia kecil terbunuh akibat penularan selesema burung yang melanda pantai utara Chile – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda