LOS ANGELES, 19 DIS – Gabenor California, Gavin Newsom, kelmarin mengisytiharkan darurat berikutan wabak selesema burung H5N1 yang telah menjangkiti 34 orang di negeri itu, lapor Xinhua.
Menurut pejabat gabenor, pengisytiharan itu dibuat susulan pengesanan kes dalam lembu tenusu di ladang di California Selatan, ‘menunjukkan keperluan untuk meluaskan lagi pemantauan dan mengukuhkan pendekatan yang diselaraskan di seluruh negeri bagi membendung serta mengurangkan penularan virus.’
Setakat ini, tiada penularan selesema burung daripada manusia ke manusia dikesan di California dan hampir semua individu yang dijangkiti terdedah kepada lembu yang dijangkiti, menurut kenyataan media pejabat gabenor. Pejabat itu menambah California telah mewujudkan sistem ujian dan pemantauan terbesar di negara itu bagi menangani wabak berkenaan.
Sehingga kelmarin, virus H5N1 telah merebak pada lembu tenusu di 16 negeri, selepas pertama kali disahkan di Texas dan Kansas Mac lalu, menurut data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS). – Bernama