HANOI, 29 Mac – Pertumbuhan ekonomi Vietnam menjadi lembap dalam suku pertama tahun ini, terjejas oleh sektor pertanian lemah yang dibelenggu wabak selesema khinzir dan kemerosotan mendadak dalam eksport.
Negara komunis itu ialah salah satu ekonomi yang berkembang paling pesat di Asia, dirangsang oleh eksport yang telah membantu pertumbuhan KDNK mencecah enam peratus setahun sejak 2015.
Namun pertumbuhan tahun-ke-tahun menjadi lembap dalam tiga bulan pertama 2019, mencecah 6.79 peratus berbanding dengan 7.45 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu, menurut Pejabat Statistik Am (GSO).
Satu sebab kemerosotan adalah wabak selesema babi yang telah menjejaskan sektor pertanian dengan teruk dan mungkin juga menjejaskan pertumbuhan sepanjang tahun.
Wabak setakat ini telah merebak ke 23 wilayah dan bandar di Vietnam di mana 82,000 ekor khinzir telahpun dibunuh untuk membendung jangkitan seterusnya.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah meminta Vietnam supaya mengisytiharkan darurat negara.
Pertumbuhan suku pertama meleset sejajar dengan kemerosotan dalam pertumbuhan global disebabkan sebahagiannya perang perniagaan di antara China dan AS yang telah mencetuskan kesan riak, menjejaskan dengan teruk eksport Vietnam, kata GSO.
Pertumbuhan eksport merosot mendadak dalam suku pertama daripada 22 peratus pada tahun lalu kepada 4.7 peratus, berpulih sedikit pada Mac.
Pertumbuhan suku pertama KDNK “berlaku dalam konteks pertumbuhan global, yang menjadi lembap dengan risiko dan cabaran yang semakin meningkat,” kata GSO.
Vietnam telah melihat pertumbuhan ekonomi yang berkembang sejak ia melaksanakan pembaharuan pasaran yang diperkenalkan pada tahun 1990. – AFP