Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Self-Care penting dalam kehidupan wanita

    Oleh Nurdiyanah R.

    Sejak kebelakangan ini, terdapat banyak penekanan telah dilakukan terhadap kepentingan untuk mencapai keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan.

    Hal berkenaan telah menjadi satu isu yang sering menjadi bualan lebih-lebih lagi dalam berdepan peredaran masa yang banyak mengubah bagaimana kita mengendalikan kehidupan yang kian mencabar.

    Sebagaimana peribahasa ‘Tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia’ begitulah antara manifestasi betapa wanita merupakan satu daripada entiti peradaban yang penting dalam sama-sama menyumbang tenaga dan idea untuk membangun institusi kekeluargaan, kemasyarakatan dan juga kenegaraan.

    Sungguh tidak dapat dinafikan, di tengah-tengah kesibukan wanita sehari-hari, siapa pun mereka tidak kiralah yang terdiri daripada seorang ibu, isteri, ibu tunggal, anak mahu pun sebagai warga kerja pastinya memikul amanah dan tuntutan tanggungjawab yang begitu besar sehingga tidak lari dari istilah tekanan.

    Walaupun ada yang mengalami situasi tekanan yang sama, pasti akan ada reaksi emosi yang berbeza kerana ia bergantung kepada daya tahan mental seseorang individu. Bagaimanakah kita menghadapi setiap situasi ini?

    Seiring menempuhi cabaran dan dugaan dalam kehidupan yang bagaikan tiada kesudahan, namun begitu penting bagi seseorang untuk meluangkan waktu melakukan penjagaan diri demi kesihatan mental mahu pun fizikal dengan sebaik-baiknya.

    Itulah antara inti pati forum berjudul ‘Self-Care: You Can’t Pour from an Empty Cup’ bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa 2022 anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB) berlangsung secara maya menerusi aplikasi Zoom dan saluran Facebook rasmi JAPEM Brunei, baru-baru ini.

    Di sebalik kesusahan tersimpan keindahan

    Dalam meniti situasi krisis kesihatan kini, semua pihak pastinya tidak lari dari merasai pelbagai cabaran dalam kehidupan sehari-hari meliputi seluruh dunia. Salah seorang ahli panel, Pegawai Pembangunan Masyarakat, JAPEM, Dayang Irnawati binti Haji Mahir mengongsikan pandangannya Negara Brunei Darussalam yang kini sedang menghadapi gelombang ketiga, telah cukup memberi impak yang begitu mendalam dalam diri kita sehingga bagaikan merombak kehidupan biasa-biasa kepada norma baharu seperti bekerja dari rumah.

    Situasi ini memang mencabar di mana semestinya banyak penyesuaian yang perlu kita aplikasikan dalam diri lebih-lebih sebagai seorang ibu. Mengalami keadaan sebegini, ia begitu meyakini kita semua bahawa menitikberatkan kehidupan yang sihat dan selamat itu begitu penting sekali diterapkan dalam kehidupan, baharulah disusuli dengan pekerjaan.

    Pastinya, dalam menyentuh situasi wanita-wanita yang berkerjaya di luar sana ketika menghadapi ancaman kesihatan kini, suatu hal yang sering terdetik di benak fikiran yang sekali gus menjadi cabaran terkini ialah memikirkan bekerja di luar, keperluan dan keselamatan keluarga di rumah dan juga pembelajaran anak-anak.

    “Menghadapi cabaran kehidupan silih berganti ini, pastinya role model ialah ibu dan nenek saya yang mana merekalah insan-insan yang banyak mengajar diri ini erti kehidupan. Begitu indah lagi kalau kita menyelami keindahan sejarah-sejarah Islam yang mengagungkan keistimewaan wanita-wanita yang hebat seperti isteri-isteri Rasulullah SAW yang rata-ratanya mengandungi kekuatan prinsip yang perlu dicontohi dalam kita berdepan dengan permasalahan dalam kehidupan. Yakinlah di sebalik kesusahan yang berlaku itu tersimpan keindahan,” ujarnya tulus.

    Wanita dan norma baharu

    Wanita dalam meniti norma baharu sememangnya memerlukan keseimbangan antara peluang dan cabaran lebih-lebih lagi dalam menempuh abad ke-21, jelas Penolong Profesor di Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Hajah Asmah binti Haji Husaini juga salah seorang ahli panel yang turut menekankan perlunya kita menjadi lebih inovatif dalam cara mengadaptasi tanggungjawab sebagai seorang ibu, isteri dan anak demi sama-sama mengharungi cabaran hebat dalam norma baharu yang ini.

    “Menyentuh mengenai inovasi itu merujuk kepada daya kreativiti kita dalam menjalankan pelbagai tugasan sejajar dengan kepentingan dan persekitaran sehari-hari ketika kita melaksanakan kerja dari rumah di samping membantu anak-anak dalam menyelesaikan sesi pembelajaran mereka diikuti dengan tuntutan amanah yang lain. Semuanya memerlukan keaktifan diri kita sebagai seorang wanita untuk tetap yakin dan bersemangat menempuhi cabaran-cabaran tersebut secara teratur,” tambahnya.

    Mustahaknya penjagaan diri

    Berbicara mengenai kehidupan wanita lebih-lebih lagi yang memerlukan pelbagai tuntutan kerja dalam kehidupan pastinya tidak dapat dipisahkan dengan impak-impak tertentu terutamanya yang menjurus kepada kesihatan mental.

    Emosi yang sihat melahirkan individu yang mempunyai sikap dan sifat yang positif dalam kehidupan. Sebagai manusia, emosi mempunyai peranan besar dalam kehidupan kita. Emosi merupakan aspek unik yang mampu mempengaruhi kehidupan seseorang.

    Pengasas, Fasilitator dan Ketua Sokongan Platform Komuniti Kesihatan Mental, Oh Baby Bean, Dayang Rasyidah binti Haji Samah selaku ahli panel terakhir menekankan golongan wanita sebagai suri rumah tangga mahu pun mereka yang baharu bergelar ibu juga tidak terhindar dari merasai impak emosi di saat menempuhi cabaran norma baharu sehingga kadang-kadang menimbulkan tertekan, kerisauan, stres bahkan depresi jika tidak terkawal maka begitu mustahaknya kita memiliki prinsip keupayaan penjagaan diri dalam kehidupan demi menjauhi dan mengurangkan gejala-gejala negatif yang tidak diingini berlaku dalam jiwa dan diri.

    Di akhir forum, rata-rata ahli panel turut berkongsi pandangan bahawa sebenarnya, setiap individu mempunyai keperluan yang berbeza dan individu itu sendirilah yang tahu bagaimana untuk meletakkan keutamaan dalam hidup supaya keseimbangan itu dapat dicapai baik dari segi jasmani dan rohani.

    Dalam erti kata lain, keseimbangan itu tidak akan menjadi tetap pada setiap masa kerana kita perlu sentiasa mengubahnya mengikut keperluan masing-masing.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...