Selidiki kemaslahatan pekerja luar negara 

Saya tertarik membaca mengenai skim Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA) antara Malaysia dan Singapura, berdoa serta berharap ia boleh dilaksanakan antara Brunei dan Malaysia sedikit masa lagi, atau pihak relevan boleh mengkaji mengenainya demi kemaslahatan pekerja asing/luar negara di sini.

Dengan tempoh penutupan sempadan masih berkuat kuasa dan mungkin berlarutan sehingga tahun depan, pengaturan sedemikian adalah sesuatu yang sedikit sebanyak melegakan pekerja dari luar negara yang terlalu rindukan keluarga di negara jiran atau negara-negara lain.

Bukan tidak berpuas hati dengan pengumuman baru-baru ini mengenai pelonggaran kuarantin, tetapi penjelasan mengenai essential travels dan kebenaran khas masih agak kabur, adakah kebenaran khas ini untuk bertemu keluarga? Atau melawat keluarga yang sakit?. Ini kerana status pekerja asing/luar negara yang ingin pulang bercuti ke negara asal dan kembali semula ke negara ini juga masih samar.

Melalui pemahaman bacaan saya, skim PCA antara Malaysia dan Singapura membolehkan pekerja asing/luar atau pemegang pas lawatan jangka panjang diberi peluang pulang bercuti ke negara asal mereka sekitar dua hingga empat minggu, tertakluk kepada persetujuan serta ketetapan di antara individu pekerja dengan majikan.

Mereka kemudian perlu menunjukkan pas diberikan imigresen dan mematuhi peraturan-peraturan lain seperti kuarantin dan ujian saringan untuk kemasukan dan keluar ke negara tempat bekerja atau negara asal serta membayar sendiri kos yang ditetapkan.

Melaluinya, terdapat pengesahan bahawa pas diberikan membolehkan mereka masuk semula. Mungkin Brunei boleh mempertimbangkannya? Atau mengadakan muzakarah bersama majikan atau kaji selidik pendapat pekerja asing/luar mengenainya?

Rindu yang jauh