Saturday, April 19, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Selimut buatan tangan sambut pelarian, pendatang ke AS

    Gambar AP

    BURLINGTON, VT. – “Selamat datang ke Amerika Syarikat,” kata nota yang dilampirkan pada selimut kaitan tangan dengan jalur ungu, putih dan kelabu.

    Hollie Shaner-McRae dari Burlington, yang menjadikan selimut sebagai hadiah untuk seorang pelarian, menulis tentang datuk dan neneknya yang datang ke Amerika Syarikat (AS) dari Ukraine, Rusia dan Poland.

    Seorang daripada datuk itu adalah tukang jahit dan seorang lagi pembuat tong, tulisnya. “Kedua-duanya sangat berani dan datang ke Amerika ketika remaja,” tulisnya dalam nota itu. “Saya harap awda berkawan dan berasa sela-mat di sini,” tulis Shaner-McRae kepada sesiapa sahaja yang akan menerima selimut itu. “Vermont diberkati dengan kedatangan keluarga baharu dan memperkaya dunia kita.”

    Selimut itu adalah salah satu daripada sekurang-kurangnya 86 selimut seni yang dijahit, dikait dan dibuat oleh tukang kraf sebagai hadiah bagi pelarian dan pendatang untuk membuatkan mereka berasa dialu-alukan dalam komuniti baharu mereka di Vermont. Rekaan buatan tangan itu dipamerkan di Muzium Kilang Warisan di Winooski, Vermont, sebelum diserahkan kepada pelarian minggu lalu.

    Usaha itu merupakan sebahagian daripada projek Welcome Blanket kebangsaan, yang menggambarkan tindakan seni bersumberkan orang ramai yang menyokong pelarian yang menetap di AS. Aktivis Los Angeles, Jayna Zweiman memulakan Welcome Blanket pada 2017 sebagai menentang ucapan pencalonan Donald Trump tentang membina tembok antara Amerika Syarikat dan Mexico.

    Seorang sukarelawan membuat selimut buatan tangan di Brookline, Mass.
    Aisha Bitini memegang selimut buatan tangan yang dipilihnya di Persatuan Orang Afrika yang Tinggal di Vermont.
    Mochozi Bigelegele (kiri) dan Martha Mlebinge (tengah) kedua-duanya berasal dari Congo, dan Fatuma Hussein (kanan) berasal dari Burundi, memegang selimut buatan tangan yang mereka pilih pada acara pemberian Selimut Selamat Datang.
    Hadijah Petro, yang berasal dari Congo, menunjukkan selimut buatan tangan yang dipilihnya sendiri untuk pelarian dan pendatang.

    Sebagai cucu pelarian, dia dibesarkan dengan kisah keluarga datuknya melihat Patung Liberty. Monumen itu beberapa dekad kemudian masih membuatkan dia berasa dialu-alukan, katanya.

    Sama seperti Patung Liberty dilihat sebagai simbol yang menarik untuk pendatang pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, Zweiman berfikir pada masa itu “Apa yang boleh kita lakukan pada abad ke-21 ketika orang ramai datang melalui pelabuhan yang berbeza ini untuk menyambut mereka? “

    Sehingga kini, beribu-ribu selimut dan nota telah dibuat di seluruh negara untuk pameran termasuk di Atlanta, Chicago, Los Angeles dan Winooski, Vermont. Selimut itu, disertakan dengan nota peribadi daripada penciptanya, kemudiannya dihadiahkan kepada pelarian di acara, dalam peti selamat datang, di perumahan baharu mereka atau melalui kumpulan amal.

    Projek itu ditujukan kepada pelarian, orang yang terpaksa meninggalkan rumah atau negara mereka untuk melarikan diri dari peperangan, penganiayaan atau bencana alam termasuk orang Ukraine yang terlepas daripada pencerobohan Rusia di negara asal mereka. Tetapi selimut juga telah diberikan kepada pendatang.

    Di Vermont, Aisha Bitini, yang berasal dari Congo, berkata bahawa dia menyukai selimut yang dipilihnya, sehelai kain kait yang lembut dan dengan imej segi empat sama bewarna emas, merah, putih pudar dan kelabu.

    “Saya sangat bertuah kerana memilikinya,” katanya sambil menyarungkannya ke bahunya. Dia memilihnya pada pemberian selimut yang diadakan minggu lalu di Persatuan Orang Afrika yang Tinggal di Vermont atau AALV.

    Nota yang disertakan bersama selimut itu terasa sangat istimewa, kata Bitini, sambil menambah bahawa dia berterima kasih kepada orang yang membuat selimut cantik ini dan dia akan menghargainya selama-lamanya.

    Kalyan Adhikari, yang berasal dari Nepal, berkata projek Vermont adalah “inisiatif yang baik dan mesra.” Dia berkata ia membuatkan pelarian berasa dialu-alukan dan lebih seperti mereka berada di rumah.

    “Membuatkan hati saya gembira. Saya sangat berterima kasih kepada mereka,” katanya mengenai pembuat selimut.

    Kisah pendatang-pelarian itu bergema dengan Sonia Savoulian, dari Los Angeles, apabila pada 2017 ketika itu Presiden Donald Trump mengenakan larangan ke atas pelancong dari negara majoriti Islam tertentu. Keturunannya adalah orang Armenia, dan keluarganya termasuk pelarian dan pendatang. Dia sendiri adalah seorang pendatang dan dia juga kebetulan membuat sesuatu dengan benang.

    Projek Welcome Blanket menggabungkan saluran kreatif dengan produk yang akan membantu pendatang baharu ke AS merasakan pelukan, sambutan dan aspirasi, katanya.

    Sejak membuat Selimut Selamat Datang pertamanya untuk pameran di Atlanta pada 2018, dia telah membuat sejumlah kira-kira 50 selimut sedemikian.

    Zweiman berkata dia berharap membuat selimut untuk pelarian akan menjadi tradisi Amerika.

    “Saya mahu ini berlaku terus dalam 50 tahun dari sekarang,” katanya. “Dan saya mahu seorang kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam ini, apabila gelombang xenofobia seterusnya datang, ingat bahawa dia sebenarnya telah membuat sesuatu secara fizikal untuk seseorang yang akan datang.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda